INDAH Ruhaila kembali menghadiahkan single terbaharu yang dinanti-nantikan peminatnya berjudul Indah hasil ciptaan komposer terkenal tanah air, Firdaus Rahmat, manakala diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment.
Siapa sangka perjalanan seni penyanyi cantik bersuara lunak yang sudah menjangkau 15 tahun lamanya, terbaharu, berbekalkan semangat dan cintanya terhadap bidang nyanyian.
Single Indah merupakan buah fikiran Indah sendiri yang mahukan kelainan dalam menghasilkan melodi, dan menjadi transformasi bagi dirinya yang merupakan penyanyi berpengalaman dan lebih matang dalam berkarya.
“Jalan cerita lagu ini datang dari saya, setelah berbincang dengan komposer, Firdaus Rahmat, hasilnya sebuah karya lain dari lain dan kedengaran sedikit ‘fresh’ dan lebih kepada ‘feel’ masa kini.” ujar pemilik nama sebenar, Siti Ruhailah Hussein, 36.
“Ia menceritakan tentang kemampuan seorang wanita yang pasti beroleh kebahagiaan jika mereka mencintai diri sendiri dahulu, kiranya seperti ‘self-love’, seterusnya perasaan ‘indah’ itu akan datang dengan sendirinya,” tambahnya lagi.
Single Indah berjaya dirakamkan dalam masa dua jam sekali gus tidak menjadikan satu kesukaran buat dirinya.
Baca juga: Exist band pertama bekerjasama dengan orkestra DBKL
Baca juga: The Beatles: Empat lelaki yang menakluk dunia
Kali pertama mendengar lagu tersebut, pendengar pasti terhibur dengan karya bernuansa pop dansa ini kerana ada patah di dalamnya yang dinyanyikan secara rap oleh Indah sendiri, menyuntik elemen kelainan yang dimahukan selain menjadikannya lebih tersendiri.
“Setelah sekian lama saya tidak hadir dengan mana-mana lagu baharu, saya anggap ini sebagai hadiah melepaskan kerinduan peminat yang sudah lama menunggu, serta jangan lupa menyaksikan MV Indah di YouTube nanti yang berkonsep minimalis dengan elemen yang indah sahaja.
“Saya berharap supaya Indah dapat diterima oleh semua, terutamanya peminat saya dan pelbagai penggemar muzik tanah air, tidak mengira peringkat umur,” jelasnya.
Lagu Indah boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music. — Arena Muzik