MEMUKAU dan mempesonakan. Begitulah kata mudah untuk menggambarkan nuansa muzik yang dicambah dalam minda penonton yang menyaksikan persembahan Afgansyah Reza atau lebih dikenali dengan nama pentas sebagai Afgan.
Mendendangkan lebih 25 buah lagu, penyanyi berusia 34 tahun itu nyata berjaya memukau lebih 3,000 penonton yang hadir ke konsert Afgan Live In Concert With Orchestra.
Sebaik sahaja tirai persembahan dibuka, suara sorakan peminat memenuhi setiap genap ruang di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Sabtu.
Menjadikan konsert tersebut lebih istimewa apabila persembahan muzik Afgan diiringi oleh kumpulan pemuzik Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).
Asimilasi kelunakan suara Afgan dengan muzik orkestra kedengaran serasi dan saling melengkapi antara satu sama lain.
Pada malam itu, persembahan bertemakan masa menjadi latar sekali gus membuatkan membuatkan khalayak seperti lupa dengan segala bebanan fikiran dalam hidup mereka.
Baca juga: M.Nasir terus buktikan kehebatan di Konsert Gendang Pati
Baca juga: ‘Lautan putih’ penuhi Zepp KL rai Opick & Sakti
“Malam ini kita lupakan segala kerungsingan yang ada dan terhibur dengan persembahan. Saya difahamkan, peminat di Malaysia pada suka muzik galau (sedih).
“Katanya, lagi galau, lagi healing (tenang). Jadi, kita terus dengar lagu galau untuk lebih healing,” kata Afgan.
Selepas lebih satu jam terbuai dengan suara Afgan, tumpuan penonton tertumpu kepada wanita jelita, Raisa yang kelihatan anggun mengenakan busana putih gemerlapan.
Bukan kerana gaun labuh yang disarung menjadi tarikan, tetapi kehebatan suara dan kelembutan wanita berusia 33 tahun itu sudah cukup menarik perhatian.
Bergandingan dengan Afgan mendendangkan lagu Percayalah, keserasian mereka mencuri hati penonton.
Kemudian pentas didominasi oleh Raisa dengan persembahan solo dengan lagu Kali Kedua, sebelum Afgan kembali mengambil posisi menghiburkan penonton.
Selain lagu popular, Afgan turut menyanyikan single daripada album Inggeris antaranya Knock Me Out, Say I’m Sorry dan If I Don’t Have Your Love.
Meskipun dilihat ada beberapa penonton yang agak ‘membisu’ tatkala menyanyikan lagu Inggeris berbanding Melayu, namun mereka tetap berpuas hati dengan persembahan.
Tentu sahaja detik yang paling dinantikan apabila Afgan menyanyikan lagu popular seperti Ada, Untukmu Ku Bertahan, Dia Dia Dia, Bukan Cinta Biasa, Panah Asmara, Bawalah Pergi Cintaku dan Kau Dengannya Ku Dengan Dia. — Arena Muzik