Menepati jangkaan, pasangan duo adik-beradik, yang dianggotai Syaiful dan Sharif Zero diumumkan sebagai juara program Famili Duo musim ketiga (FD3) yang melabuhkan tirainya malam tadi sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000.
Syaiful dan Sharif menghiburkan penonton dengan mempersembahkan lagu Kong Kali Kong dalam segmen pertama serta medley lagu Lemak Manis, Umpan Jinak Di Air dan Joget Angan Tak Sudah sekali gus mengumpul markah ‘Perfect 10’ sebanyak dua kali dari juri.
“Tangisan ini adalah tangisan kepuasan selepas setiap minggu kami memberikan yang terbaik dalam persembahan. Kalau diberikan peluang, kami ingin teruskan menghiburkan anda,” kata Sharif memetik laporan Harian Metro.
Baca juga: Lah Ahmad kongsi kisah cinta romantis dalam Alhumaira
Baca juga: Afgan akui belum bersedia buat konsert di stadium
Syaiful dan Sharif yang sebelum ini tiga kali mencatat kemenangan sebagai juara mingguan turut diiringi adik mereka, Atu serta tiga rakan pelawak lain iaitu Danial Zaini, Fad dan Namie dalam segmen kedua.
Selain Syaiful dan Sharif, pentas akhir FD3 turut menyaksikan persembahan dua finalis lain iaitu pasangan sepupu Haqiem Rusli dan Ariff Bahran serta pasangan adik-beradik Adira dan Emma Suhaimi.
Penonton turut dihiburkan dengan persembahan pasangan suami isteri, Syamel dan Ernie Zakri menerusi lagu berjudul Lagu Rindu dan Selangit.
Program FD3 disiarkan secara langsung di TV3 diacarakan pasangan pengacara, Izzue Islam dan Janna Nick serta menampilkan Ajai dan Mas Idayu sebagai juri. — Arena Muzik