LAGU Gagal Cinta nyanyian tiga jelitawan yang menggelarkan diri mereka sebagai kumpulan The Gadys berjaya mencuri perhatian pendengar.
Melodi rancak lagu yang dihasilkan oleh komposer Adib itu mudah ‘cair’ di telinga pendengar sekali gus membuatkan mereka turut menyanyi bersama.
Kemuculan girl band itu pada 2021 memberikan warna baharu dalam industri muzik tempatan, selain memberi peluang kepada peminat untuk melihat wajah-wajah penyanyi berkumpulan wanita selain meraka yang popular era 1990-an.
The Gadys dianggotai oleh ahli asal iaitu Aznie Azmi dan Ayunie Rizal kini diserikan dengan wajah baharu, Thamiera Chan.
Kehadiran ahli baharu itu merupakan hasil kerjasama antara Universal Music Malaysia dengan Valient Music yang masing-masing optimis bahawa kumpulan terbabit mampu memberikan kesan kepada industri.
Kata Ayunie, single Gagal Cinta memiliki nilai sentimental dan keistimewaan tersendiri buat mereka. Biarpun melodinya catchy, tetapi hakikat penceritaan lagu tersebut menggambarkan emosi kecewa dan patah hati.
“Proses rakaman sangat menyeronokkan dan berjalan lancer. Waktu rakaman, kami meletakkan emosi pada setiap nyanyian untuk Gadys merasai atau menjiwai lirik lagu Gagal Cinta dengan baik.
“Walaupun lagu ini rancak, tetapi mesej tersirat dalam lagu membuatkan pendengar memahami lirik dengan mudah,” katanya.
Sementara itu, sebagai ahli baharu, Thamiera berkongsi cabaran sepanjang menjalani proses menyiapkan lagu dan video muzik lagu Gagal Cinta.
Katanya, menyuntikkan elemen emosi dalam lagu terbabit antara kesukaran yang dilalui.
“Terdapat beberapa cabaran sewaktu merakam video muzik, tapi hasil yang kami dapat dengan cabaran yang kami hadapi tidak sia-sia.
“Memandangkan ini debut pertama saya, saya tidak merasa diri saya sangat tercabar lagi kerana semua berjalan dengan lancer dan teruja untuk menantikan masa depan saya dengan kumpulan ini nanti,” jelasnya.
Sebelum ini kumpulan yang bermula dengan empat wanita berbakat memulakan kerjaya nyanyian menerusi single raya berjudul Gadys Raya yang dilancarkan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun lalu. Bagaimanapun, kini kumpulan terbabit bertukar menjadi tiga selain muncul dengan wajah baharu. – Arena Muzik