AURA penyanyi popular Indonesia, Rizky Febian nyata menular dalam kalangan penonton yang hadir bagi menyaksikan persembahan bintang kesayangan mereka.
Lebih 4,000 penonton hadir memberi sokongan padu buat Rizky di An Album Live Concert: Berona Day Rizky Febian yang berlangsung di Megastar Arena KL@Sg Wang Plaza, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.
Tirai persembahan dimulakan pada pukul 8.30 malam dengan menyaksikan jeritan dan sorakan peminat yang ada sebilangannya tiba seawal 6 petang.
Terharu dengan reaksi diterima, pemilik nama Rizky Febian Adriansyah Sutisna, 25, mengucapkan terima kasih kepada peminat yang tidak henti-henti memberi sokongan apatah lagi ini merupakan persembahan keduanya di Malaysia selepas Oktober 2022.
“Saya masih tidak boleh ‘move on’ terhadap konsert lalu dan mahu menghiburkan lagi peminat di Malaysia kerana sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi,” katanya.
Bukan sekadar menghiburkan, malah konsert itu juga termasuk dalam rangka promosi siri jelajah album kedua Rizky bertajuk Berona.
Album yang memiliki 10 buah lagu itu dilancarkan pada 21 Julai lalu dengan membariskan tiga pemuzik terkenal dari negara kelahirannya iaitu Gangga, Teddy Adhitya dan Basboi.
Rona Cinta
Dalam konsert yang berlangsung selama dua jam itu, Rizky mempersembahkan 18 buah lagu dan diantaranya Berona, Luka, Kesempurnaan Cinta, Indah Pada Waktunya, Ego, Seperti Kisah, Selaras Kata, Ragu, Terpesona dan Membisu.
Bukan sekadar menyanyi, malah Rizky turut bertanggungjawab sebagai pengarah muzik konsertnya sendiri.
Jadi, penonton yang hadir bukan sahaja dapat mendengar kelunakan suaranya, tetapi mereka turut berpeluang menikmati sendiri ‘kuasa cinta’ dengan iringan pemuzik professional asal Indonesia.
“Terima kasih buat semua yang hadir kerana menjadikan konsert Berona Day sebuah momen berharga bagi saya yang akan saya simpan sampai bila-bila,” ujarnya.
Untuk rekod, konsert tersebut dibawakan istimewa oleh Hitman Solutions.