BIARPUN industri hiburan dibanjiri dengan kehadiran ramai penyanyi baharu, namun pemilik nama Shahrul Anuar Zain, tetap memiliki peterana tersendiri yang sehingga kini kedudukannya masih tidak tergugat.
Populariti beliau kekal kukuh di persada seni sehingga membuatkan ‘jenama’ Anuar Zain tidak tergugat biarpun lebih tiga dekad dalam industri.
Jadi tidak hairan apabila lebih 8,000 penonton membanjiri Stadium Melawati, Shah Alam demi menyaksikan persembahan pelantun lagu Keabadian Cinta itu.
Berlangsung dengan penuh meriah, aura lelaki berusia 53 tahun itu berjaya hipnosis penonton sekali gus turut sama menyanyikan untaian lagu popular seperti Lelaki Ini, Teman Terulung, Bila Resah, Ketulusan Hati, Mungkin, Sempurnakan Aku dan Sedetik Lebih.
Konsert Anuar Zain 40th Anniversary (AZ40) itu juga dijadikan sebagai hadiah buat peminat yang terus memberikan sokongan tanpa henti.
Persembahan dimulakan dengan dendangan lagu Kaulah Satunya, kemudian diteruskan dengan Sesucinya Cintamu.
Kata ringkasnya, semangat penonton seperti tiada henti memberikan sorakan, jeritan dan bernyanyi bersama di sepaniang tiga jam konsert berlangsung pada Sabtu lalu.
Biarpun kekuatan vokal diuji dengan tahap kesihatan yang tidak mengizinkan, hal itu bukan penghalang untuk beliau meneruskan persembahan.
Gangguan kesihatan itu turut membuatkan mengalami sedikit kesukaran untuk menyanyikan lagu-lagu beliau.
Bahkan, Anuar juga perlu bergantung kepada penebula atau alat bantuan penafasan sokongan (nebulizer) bagi membolehkannya terus beraksi di atas pentas.
“Sejujurnya saya kecewa apabila hilang suara sekali gus tidak dapat mencapai standard yang saya tetapkan.
“Apa pun yang terjadi, persembahan tetap perlu diteruskan. Melihat peminat yang datang menguatkan lagi semangat saya untuk meneruskan persembahan,” katanya.
Terkadang tumpuan penonton kelihatan sedikit terganggu dan resah apabila melihat Anuar menggunakan alat penafasan tersebut.
Tetapi, Anuar tetap membulatkan hati untuk meneruskan persembahan kerana menghargai sokongan peminat.
“Walaupun saya sedikit kecewa, tapi saya tetap bersyukur kerana sudah lakukan yang terbaik demi peminat,” jelasnya.
Konsert tersebut bukan sahaja menghimpun ribuan peminat, malah barisan selebriti popular tanah air turut hadir.
Antara kakak beliau, Ziana Zain, Datuk Sheila Majid, Misha Omar, Rozita Che Wan serta anak saudaranya, Ernie Zakri dan suami, Syamel.
Konsert AZ40 dipimpin pengarah muzik Lee Sze Wan bersama 25 pemuzik pengiring.