NOSTALGIA dan rock. Begitulah kata mudah untuk menggambarkan kumpulan popular era 1990-an, Damasutra ketika membuat persembahan di Zepp Kuala Lumpur sempena sambutan ulang tahun ke-33 penubuhan.
Sebanyak 16 buah lagu dipersembahkan dalam Konsert Anniversari Ke-33 Damasutra-The Journey yang memulakan persembahan sekitar pukul 8.30 malam.
Tentu sahaja lagu yang paling dinantikan peminat, Umpama Mimpi Dalam Mimpi menjadi ‘pelaris’ kepada pengangjuran konsert tersebut.
Diadakan pada Jumaat, Damasutra membuka tirai persembahan dengan lagu ‘panaskan badan’, Sembunyi nyanyian kumpulan Wings.
Tanpa membuang waktu, vokalisnya, Baggio atau nama sebenarnya Bahagia Daharun, 52, terus menghiburkan penonton dengan lagu Selamba dan Antara Sutra Dan Bulan.
Tidak dinafikan, awal persembahan Baggio dilihat penuh bertenaga dan bersemangat terutama mendendangkan lima lagu pertama.
Kemudian, aura nyanyiannya kedengaran sedikit ‘goyang’ terutama ketika menyanyikan lagu nada tinggi.
Biarpun begitu, peminat tidak melihat itu sebagai satu kelemahan. Sebaliknya mereka terus menyanyi bersama Baggio sehinggalah ke persembahan kemuncak, Umpama Mimpi Dalam Mimpi.
Sebaiknya melodi lagu itu dimainkan, hampir kesemua peminat menaikkan telefon pintar masing-masing sekali gus merakam momen penuh bermakna itu.
Pada konsert itu, Baggio turut meluahkan rasa syukur dan berterima kasih atas sokongan peminat biarpun sudah tiga dekad dalam industri.
Mendengarkan suara Baggio menyanyikan lagu tersebut secara langsung menjadi pengubat buat kerinduan peminat yang menantikan kemunculan semula mereka.
“Anda adalah tulang belakang kami pada hari ini. Terima kasih yang tidak terhingga. Alhamdulillah, inilah rezeki kami pada hari ini,” katanya dalam nada terharu.
Dalam pada itu, sebanyak 10 peratus jumlah kutipan konsert tersebut turut disumbangkan ke tabung bantuan Gaza menerusi Tabung Kecemasan Palestine Malaysian Relief Agency (MRA).
“Isu peperangan Palestin, banyak saudara seagama kita yang terkorban dan hidup dalam kepayahan. Oleh itu, sebahagian daripada jualan tiket konsert akan disalurkan untuk sumbangan rakyat Palestin.
“Biarpun mungkin sedikit, diharapkan agar bantuan ini dapat membantu mereka yang kini sedang diduga,” ujarnya.
Persembahan Baggio diiringi oleh Amran selaku pemain bes, Assu (dram), Jonh Boy (gitar), Nicole (keyboard) manakala Rizal (gitar) yang menggantikan Allahyarham Alok.
Tidak bersendiri, konsert Damasutra itu turut menyaksikan persembahan oleh D’Ultimate 6 yang dipertanggungjawabkan untuk membuat persembahan pembukaan.
Untuk rekod dianggarkan sekitar 1,000 penonton hadir ke konsert anjuran Ultimate Media itu.