Minat mendalam terhadap irama muzik balada membuatkan penyanyi baharu, Eriza memilih genre ‘perlahan’ itu sebagai elemen utama dalam single pertama bertajuk, Demi Kasih.
Pemilik nama lengkap, Ismar Eriza Allya itu juga memberitahu, dia mengakui bukan mudah untuk membawakan lagu tersebut pada peringkat awal.
Namun, setelah diberi tunjuk ajar dan dorangan daripada pencipta lagu, Datuk Ayu Omel, Eriza seperti mendapat suntikan semangat sekali gus membulatkan hati bahawa Demi Kasih mampu menawan hati pendengar terutama mereka yang mengalami situasi sama seperti mesej lagu.
“Lagu ini diciptakan dengan sungguh menarik, dan melalui penyampaian penuh emosi Eriza mengharapkan lagu Demi Kasih mendapat tempat di hati pendengar.
“Saya memilih lagu ini sebagai debut pertama kerana, saya sangat sukakan muzik balada dan mahu mencubanya. Lagu-lagu balada mempunyai daya ungkapan emosi mendalam yang membuatkan saya tertarik dengannya” jelas wanita berusia 21 tahun itu.
Mengulas lanjut, Eriza mengakui dia tertarik dengan lirik lagu yang menggambarkan tentang perasaan seorang wanita saat melalui detik sukar dalam hidup.
“Demi Kasih adalah lagu yang pasti akan membawa kita dalam pengembaraan melalui emosi yang sejati,” ujarnya.
Tidak hanya tertumpu kepada kerjaya sebagai penyanyi, Eriza juga mempunyai bakat dalam bidang lakonan.
Ternyata gadis manis itu mempunyai kelebihan untuk menceburi kedua-dua cabang seni sementelah dia juga pernah muncul dalam filem arahan Dain Said, Harum Malam Februari lalu.
Pengalaman lakonan yang ada secara tidak langsung membantu Eriza menterjemahkan emosi Demi Kasih dalam muzik video.
Sudah dimuat naik pada awal Oktober lagu di YouTube, muzik video tersebut kini sudah mendapat lebih 20 ribu tontonan.
Malah, rata-rata pengguna platform tersebut turut memberikan komen positif dan memberikan sokongan penuh kepada Eriza.
“Pengalaman lakonan Eriza sebelum ini sangat membantu dalam proses menyiapkan muzik video ini” ujarnya yang turut berlakon di samping As’ad Motawh.
Dalam pada itu, meskipun bergelar penuntut di salah sebuah universiti tempatan, Eriza tetap optimis dengan keputusannya untuk menceburi bidang seni.
“Saya berusaha menguruskan masa dengan baik dan menganggap perjalanan ini sebagai liku-liku yang perlu dilaluinya dalam meniti kerjaya dalam industri muzik yang mencabar,” akhirnya menutup bicara.
Lagu Demi Kasih boleh didengari di semua digital penstriman sementara muzik video di Youtube saluran, D’Ayu Music.
Untuk rekod, muzik video Demi Kasih dihasilkan oleh Motawh Production selain pada masa sama, diarahkan As’ad Motawh sendiri.