Dua bintang popular Korea Selatan, Xiumin Exo dan Bobby (iKON) bakal menggegarkan pentas di Surf Beach Sunway Lagoon, Subang Jaya menerusi Festival Muzik 9Wave pada 11 November depan.
Kehadiran dua nama besar industri muzik K-Pop itu turut disertai kumpulan sensasi, (G)I-DLE, pemuzik serba boleh, Henry Lau, pemuzik muzik elektro, Shaun dan bintang popular, Hyoyeon dari SNSD.
Dalam satu kenyataan, penganjurnya, Nine XTraw berkata, festival tersebut akan menjadi pentas merayaan muzik dan budaya K-Pop yang mengasyikkan dengan menghimpunkan peminat dari seluruh Malaysia dan negara serantau.
Malah, konsert anjuran bersama Skyline Entertainment itu juga menjanjikan malam muzik yang tidak akan dilupakan oleh peminat terutama meraikan bintang-bintang tersohor dunia K-Pop.
“Jualan tiket sudah dibuka bermula pada harga RM268 (general) sehingga RM8,888 (VIP duduk). Tiket zon duduk VIP itu dibuka hanya untuk enam pembeli sahaja. Tempat duduk serta jamuan makan disediakan khusus untuk enam pembeli bertuah.
“Tiket-tiket lain dijual pada harga RM588 (parti), RM788 (wave), RM1,088 (VIP stand) dan RM7,888 (VIP duduk). Kami juga memberikan potongan harga lebih murah berbanding jualan awal terdahulu,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut berhubung festival dan pembelian tiket boleh melayari www.9wavemusicfestival.com dan premier.ticketcharge.com.my.