Penyanyi popular Indonesia, Judika menebarkan kepuasan pada hati lebih 12,000 penonton yang hadir ke konsert Rockmantic Night Judika & The Gang di Axiata Arena, Bukit Jalil, Sabtu lalu.
Siapa tidak mengenali Judika yang popular dengan untaian lagu romantis dan penuh rasa cinta. Kelunakan suaranya yang garau itu menambahkan tarikan pada lagu.
Bercerita soal konsert, Judika berasa terharu apabila bukan sahaja peminat di Malaysia, tetapi Indonesia, Brunei dan Singapura turut memberi sokongan padu.
“Semangat cinta yang diberikan oleh mereka membuatkan saya berusaha untuk menyanyi sebaik mungkin,” jelas pemilik nama Judika Nalom Abadi Sihotang itu.
Tidak membuat persembahan sendirian, penyanyi berusia 45 tahun itu ditemani oleh bintang popular Malaysia seperti Marsha Milan, Haqiem Rusli dan Shila Amzah.
Dalam pada itu terdapat juga kehadiran artis undangan dari Indonesia naungan DAD Management seperti Dnanda, Daniel Pattinama dan Dr. Axin sekali gus membuat persembahan pembukaan konsert tersebut.
Kemudian, tiba detik yang dinantikan peminat apabila kemunculan Judika di tengah pentas dengan menaiki sebuah motosikal berkuasa tinggi.
Lebih 20 buah lagu dipersembahkan dalam konsert itu termasuk tiga lagu popular Malaysia iaitu Buih Jadi Permaidani, Cindai dan Sejati.
Persembahan dimulakan dengan dendangan lagu Bukan Rayuan Gombal yang mendapat sorakan gemuruh menggamatkan seluruh ruang Axiata Arena.
“Saya sudah mempersiapkan diri selama tiga hari berturut-turut sewaktu latihan kerana mahu memberikan yang terbaik untuk semua dan hasilnya semua yang hadir sangat gembira dan merasa cinta yang saya tonjolkan.
“Lebih istimewa kerana keluarga saya juga berpeluang melihat sendiri konsert sebesar ini yang pertama di Malaysia dan menjadi kebangaan buat saya.
“Terima kasih sesungguhnya buat penonton yang hadir, mereka terlibat dan begitu juga artis undangan dari Malaysia dan serta Indonesia termasuk penaja,” akhiri Judika.
Antara dipersembahkan seperti Sampai Kau Jadi Milikku, Kisah Yang Ku Inginkan (duet bersama Shila Amzah), Putus Atau Terus, Jikalau Kau Cinta dan Cinta Karena Cinta.
Konsert tersebut dibawakan khas oleh penganjur dari Indonesia, Dua Anak Deo (DAD) Management.