Oleh: Jannah Jalidar
SELAMA hampir tiga jam, seramai lebih 7 ribu peminat Dewa 19 seolah ‘dipukau’ dengan persembahan berbeza kumpulan berkenaan di ‘Konsert Dewa 19, A Night At The Orchestra Chapter 5, Live In Malaysia’ yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, baru-baru ini.
Benarlah apa yang dikatakan oleh Ahmad Dhani, ketua dan vokalis kumpulan Dewa 19, ‘muzik adalah makanan jiwa, orkestra itu makanan jiwa,’ apabila kesemua lagu- lagu yang dimainkan dengan diiringi muzik orkestra memberi kepuasan maksima terutama bagi Baladewa dan Baladewi di Malaysia.
Terasa seperti berada di panggung antarabangsa, konsert pada malam itu dimulakan dengan ‘Bohemian Rhapsody’ diiringi persembahan oleh pemuzik orkestra diketuai oleh Ahmad Dhani sebagai konduktor muzik sebelum menyerahkan konsert berkenaan kepada maestro muzik Indonesia, Guntur Nur Puspito yang mengetuai keseluruhan orkestra berkenaan.
Kemunculan vokalis Dewa 19, Marcello Tahitoe atau lebih mesra dengan panggilan Ello, membuka acara malam itu dengan aksi bertenaga dengan paduan suara merdunya membawakan lagu Arjuna, Elang, Sudah dan Pupus.
Setelah itu Axiata Arena dihangatkan lagi dengan kehadiran vokalis, Virzha yang memiliki suara ‘husky’ dan merdu apabila melantunkan lagu-lagu hits Dewa 19 seperti, Pangeran Cinta, Dewi, Risalah Hati, Selimut Hati, Lagu Cinta, dan Kosong.
Tidak ketinggalan malam itu juga Ahmad Dhani turut mempersembahkan beberapa buah lagu seperti, Aku Cinta Kau dan Dia, My Way, Sedang Ingin Bercinta, Madu Tiga dan Hadapi Dengan Senyuman.
Seperti mendapat kejutan besar apabila salah satu vokalis Dewa 19, Ari Lasso tiba-tiba muncul di pertengahan lagu Hadapi Dengan Senyuman dan membuatkan seluruh penggemar kumpulan berkenaan kelihatan teruja dan terharu dengan kehadiran lagenda besar itu.
Tanpa diminta, seluruh Axiata Arena menyalakan ‘flash light’ pada telefon bimbit masing-masing sambil menyanyikan lagu berkenaan bersama-sama sehingga verse terakhir lirik lagu berkenaan ‘menyerahlah untuk menang’.
Seterusnya, Ari Lasso membawa penonton berkhayal dengan keasyikan lagu lagu seperti Cintakan Membawamu, Persembahan Dari Surga, Satu, Dua Sedjoli, Kirana, Roman Picisan, Kangen dan Separuh Nafas.
Di sela-sela konsert berkenaan juga, Ahmad Dhani berulan kali memuji 54 pemuzik orkestra dari Malaysia dan menyifatkan orkestra Malaysia yang mengiringi konsert ‘Dewa 19 A Night At The Orchestra Chapter 5 Live In Malaysia’ jauh lebih baik berbanding Indonesia.
Sementara itu, konsert tersebut turut menampilkan tiga artis popular tempatan iaitu Jaclyn Victor, Shila Amzah dan Amir Masdi yang membuat persembahan tidak kurang hebatnya.
Bagi penulis, tidak seperti kebiasaan konsert rock, malam itu peminat tegar Dewa 19 mungkin sudah mendapat nuansa baru dan kepuasan yang jauh berbeza di ‘Konsert Dewa 19, A Night At The Orchestra Chapter 5, Live In Malaysia’.