Oleh: Aliyaa Azmi
Di era kini, ramai yang berlumba-lumba menghasilkan lagu raya untuk menjadi ‘trending’, namun unsur klasik dan tradisional semakin pudar.
Lain pula pendekatan Aisha Retno. Dalam lagu terbarunya, ‘Jodoh Lebaran’, dia bukan sahaja mengekalkan ciri muzik tradisi nusantara, malah menghidupkan rentak zapin dan joget kemelayuan dalam muzik videonya, menjadikan lagu raya ini lebih autentik dan memikat hati pendengar.
Lagu ini ditulis sepenuhnya oleh Aisha Retno sendiri, yang juga bertindak sebagai komposer. Tema lagu ini menyelitkan mesej manis tentang cinta dan jodoh di hari raya, sambil membangkitkan semangat riang dan keikhlasan selepas sebulan berpuasa.
Hanya dalam masa 4 hari, muzik video rasmi lagu ini telah mencatat 1 juta tontonan di YouTube, membuktikan sambutan hangat daripada peminat dan rakyat Malaysia. Aisha Retno berkongsi rasa syukurnya:

“MashaAllah, bersyukur bukan kerana numbers ini memuaskan hati saya, tetapi memuaskan hati korang yang mendengarnya. Lagu ini bukan lagi milik saya, tetapi untuk korang selamanya!” ujarnya.
Rakyat Malaysia yang mendengar lagu ini tidak henti-henti memberikan pujian. Antara komen yang dikongsi:
“Aisha Retno memang genius! Semua lagu yang dia cipta sedap didengar, dan lagu raya ni pun tak terkecuali. Punyalah sedap, tak tahu nak cakap apa dah! Support dia di YouTube guys!”
“Sebagai bekas penari zapin, jiwa tangan kaki terus rasa nak menari tiap kali dengar lagu ni! Dah pencen lama pun, lagu Aisha buatkan rasa nak cari group zapin semula. HAHA.”
Bagi mereka yang ingin menyaksikan sendiri kehebatan lagu ini, “Jodoh Lebaran” boleh didengarkan di semua platform digital streaming.
Dengan rentak zapin yang hidup, joget kemelayuan yang meriah, dan mesej manis tentang cinta dan jodoh, “Jodoh Lebaran” nyata menjadi lagu raya yang wajib didengar dan ditonton pada musim Aidilfitri 2026.
