Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Hujung minggu lepas, di Kuala Lumpur telah bertukar menjadi malam penuh emosi apabila konsert “Malam Simfoni Luka: Empat Suara, Sejuta Rasa Duka” berjaya menghimpunkan ribuan peminat muzik di Zepp Kuala Lumpur, sekali gus mencipta pengalaman hiburan yang sarat dengan rasa, luka dan kelegaan jiwa.
Dianjurkan oleh Icon Entertainment, konsert ini menyatukan empat nama besar dari Malaysia dan Indonesia iaitu For Revenge, Insomniacks, Midnight Fusic dan Bluntsheep di bawah satu pentas, menjadikan malam tersebut bukan sekadar persembahan muzik, tetapi sebuah perjalanan emosi yang mendalam.
Menurut penganjur, “Malam Simfoni Luka” bukan hanya tentang lagu-lagu popular, sebaliknya ruang untuk penonton meluahkan apa yang terpendam.
“Hafal liriknya, siapkan mentalnya. Kita bakal menyanyi hingga serak, menangis dalam sorak dan meraikan luka bersama-sama,” ujar wakil Icon Entertainment.
Konsert yang sebelum ini dijadualkan berlangsung di Mega Star Arena dipindahkan ke Zepp Kuala Lumpur, dengan penebusan gelang tangan bermula jam 4.30 petang, pintu dibuka pada 6.30 petang dan persembahan bermula sekitar jam 7.30 malam.
Nayasya Sabella, Bluntsheep Buka Tirai Dengan Sentuhan Jiwa
Malam dimulakan dengan penyanyi bersuara lunak iaitu Natasya Sabella yang hadir sebagai artis jemputan di Malam Simfoni Luka.
Penonton disajikan dengan lagu yang berdetik luka yang disampaikan dengan penuh kejujuran dan rasa bersama Natasya.
Selepas itu, Malam Simfoni Luka diteruskan dengan penampilan Bluntsheep, yang tampil dengan pendekatan muzik alternatif penuh kejujuran.
Lagu-lagu seperti Malaysia Bangkit dan Lelah disampaikan dengan susunan muzik rock indie yang menyentuh, lengkap dengan elemen drum, gitar dan bass yang menghidupkan semangat penonton.
Vokalisnya, Attar Runan, turut mengambil kesempatan merakamkan penghargaan kepada Icon Entertainment dan bapanya, Hadi Runan, yang juga pencipta lagu Pedih, sekali gus menjadikan persembahan mereka lebih peribadi dan bermakna.
Midnight Fusic Cipta Aura Dreamy
Segmen seterusnya diambil alih oleh Midnight Fusic yang membawa penonton ke alam muzik alternatif berunsur dreamy dan sinematik.
Bermula sekitar jam 8.40 malam, mereka mempersembahkan lagu-lagu seperti In Looking Through Our Hourglass As We Grow Apart, Modus Operandi, Time Machine dan Cahayaku.
Dengan pencahayaan lembut dan susunan muzik yang kemas, Midnight Fusic berjaya mencipta suasana sendu yang membuatkan penonton seolah-olah “terapung” dalam emosi.
Insomniacks Satukan Emosi Kolektif
Apabila Insomniacks mengambil alih pentas, suasana berubah menjadi lebih terang dan penuh kebersamaan.
Lagu-lagu seperti Jangan Cariku Aku Dah Hilang, Tanpa Dirimu Sayangku dan Pulang dinyanyikan beramai-ramai oleh penonton, menjadikan Zepp Kuala Lumpur seakan kanvas emosi kolektif.
Momen istimewa turut tercipta apabila vokalis, Iqie, mengajak penonton menyanyikan lagu hari jadi untuk ibunya, sekali gus mencetuskan suasana mesra dan penuh kasih.
For Revenge Tutup Malam Dengan Ledakan Emosi
Sebagai kemuncak malam, For Revenge tampil dengan persembahan bertenaga yang sarat dengan elemen catharsis. Lagu-lagu seperti Derana, Nama-Nama Yang Pergi dan Pulang mencetuskan lautan sorakan, nyanyian dan luahan emosi daripada penonton.
Dengan identiti post-hardcore yang matang, For Revenge bukan sekadar ‘membakar’ pentas, tetapi memimpin penonton untuk sama-sama melepaskan beban emosi melalui muzik.
Secara keseluruhan, Malam Simfoni Luka membuktikan bahawa konsert ini bukan sekadar hiburan semata-mata. Dengan produksi visual sinematik, susunan muzik live yang diolah semula dan gabungan emosi daripada empat kumpulan berbeza, ia menjadi satu bentuk terapi kolektif buat generasi muda.
Satu perkara jelas pada malam itu, penonton tidak hadir sekadar untuk menonton, tetapi untuk merasa, meluah dan pulang dengan hati yang sedikit lebih ringan
