Oleh Nadhirah Akmam
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin diumumkan sebagai penerima Lifetime Achievement Award pada Malam Gala AFFIN INVIKTA Top 50 Women of Excellence Awards 2025, mengiktiraf lebih 30 tahun sumbangannya dalam dunia seni dan keusahawanan.
Penghargaan berprestij itu menonjolkan bukan sahaja pencapaian Siti sebagai ikon seni, tetapi juga peranannya mengangkat martabat wanita Malaysia. “Saya bersyukur atas anugerah ini dan berharap ia menjadi dorongan kepada wanita bahawa kita kini berada di barisan hadapan, bukan hanya di dapur,” katanya menurut Harian Metro.
Program pengiktirafan nasional itu menghimpunkan tokoh wanita berpengaruh dari pelbagai sektor termasuk kewangan, sains, keusahawanan, pendidikan, perkhidmatan awam dan seni. Selain Siti, pasangan beregu negara Pearly Tan–M. Thinaah turut menerima Rising Star Award, kategori baharu untuk bakat muda yang semakin menyerlah.
Turut tersenarai sebagai penerima ialah pemenang Oscar Tan Sri Michelle Yeoh, tokoh kemanusiaan Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dan Ketua Hakim Syarie wanita pertama negara, Nenney Shuhaidah Shamsuddin.
Pemilihan pemenang melalui tiga peringkat saringan ketat daripada 300 calon kepada hanya 50 penerima terbaik, menjadikan anugerah ini antara yang paling berprestij di Malaysia.
Pengasas TOP50 Media Synergy, Kishvin Sirinavin berkata anugerah tersebut selari dengan agenda memperkasa wanita, manakala Presiden & CEO Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah menegaskan komitmen bank terhadap tadbir urus lebih kukuh, dengan wanita kini menduduki lebih 30 peratus kerusi lembaga pengarah syarikat tersenarai.

