Oleh: Aliyaa Azmi
Muncul dari ‘underground’ scene, kumpulan genre-bending DISTORTED, yang terdiri daripada Sino, Eneyeqay dan Balo, bakal melancarkan album debut mereka yang sangat dinantikan, NEW MATERIAL, pada 14 November lalu.
Balo, yang juga dikenali sebagai Iqie daripada kumpulan Insomniacks, membawa pengalaman muziknya ke dalam projek ini bersama ahli DISTORTED lain. Album ini menampilkan gabungan unik tekstur elektronik, irama eksperimental dan emosi mentah, mewakili titik penentu bagi trio ini dalam muzik moden.
Dengan 16 track, album ini bergerak seperti sebuah filem, bermula dengan 10 lagu rap dan hip-hop bertenaga tinggi sebelum beralih kepada enam lagu introspektif dan emosional yang menutup kisah dengan nada lebih peribadi.

“Pendengar boleh expect satu nafas baharu. Ia telah menjadi perjalanan panjang bekerja dengan individu berbakat dari pelbagai scene, dan rasanya surreal bila album ini akhirnya dapat melihat cahaya hari.” kata Sino.
Dua lagu fokus, “SHEESH” dan “BAYANGAN”, mempamerkan versatiliti muzik DISTORTED. Menurut Balo, “SHEESH” menangkap sisi eksperimental kumpulan dengan elemen elektronik berat dan struktur lagu yang tidak konvensional, manakala Eneyeqay menjelaskan “BAYANGAN” membawa emosi introspektif dan melankolia halus, berkisar tentang melepaskan dan mengenang sesuatu dari masa lalu.
Album ini dihasilkan sepanjang tiga tahun, melalui proses eksperimen genre dan kolaborasi dengan pelbagai artis berbakat. Setiap ahli DISTORTED mencurahkan pengalaman dan pengaruh masing-masing, menghasilkan karya yang jujur dan mentah.
NEW MATERIAL menekankan ketahanan, evolusi dan perjalanan kreatif kumpulan, sambil mengajak pendengar merasai pengalaman emosi mereka.
“Saya harap NEW MATERIAL diterima pendengar dan membuat mereka merasai sesuatu. Untuk apa yang seterusnya, kami hanya nak terus buat lebih banyak muzik. Nantikan.” Tambah Sino.
Album NEW MATERIAL boleh didengari di semua platform penstriman utama bermula 14 November.

