Oleh: Aliyaa Azmi
Siapa sangka dunia balada dan rap boleh berjumpa dengan begitu kemas? Penyanyi tersohor Adira Suhaimi dan rapper misteri Fiq7 membuktikannya dengan single terbaru mereka, “Gelas Memori”, yang dilancarkan 14 November lalu.
Kolaborasi ini bukan sekadar “cuba-cuba” ia hasil gabungan vokal lembut Adira yang penuh emosi dengan rap puitis Fiq7. Lagu ini menelusuri rindu, kehilangan, dan kenangan yang tak pernah pudar, menjadikan setiap bait lirik seperti helaian memori yang hidup dalam hati pendengar.
“Walaupun datang dari dunia muzik berbeza, tujuan kami sama: sampaikan emosi yang benar,” kata Adira, yang sebelum ini popular dengan lagu hit seperti Ombak Rindu dan Takdir Tercipta.
Fiq7 pula menekankan bahawa lagu ini sangat peribadi baginya. “Setiap baris lirik mencerminkan fasa kehidupan saya yang penuh cabaran. Saya mahu pendengar fokus pada mesej, bukan identiti saya,” katanya.
Di sebalik tabir, Mas Dewangga berjaya menyusun muzik supaya rap dan balada bertemu dalam harmoni — moden tapi tetap menyentuh. Lagu ini jadi simbol pertembungan dua generasi: Adira yang berpengalaman dan Fiq7 sebagai gelombang baharu muzik digital.
Gelas Memori boleh distrim di semua platform, manakala video muzik rasminya disiarkan di YouTube Rhunut Music jam 8 malam.
Kalau nak pengalaman penuh, jangan lepaskan!

