Oleh: Aliyaa Azmi
Peminat muzik Indonesia bersiap sedia! Radja dan Wali akan bergabung dalam konsert “Pentas RadjaWali Live in Malaysia” pada 10 Januari 2026 di Idea Live Arena, Petaling Jaya.
Konsert ini dianjurkan oleh Impian Al Fateh Sdn. Bhd., GIS Entertainment & Events dan Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events), dengan sokongan padu daripada barisan penaja atau ‘Rakan Strategik’ seperti Redbox, Three Hand Production, GGR Motor, Dua Darjat Coffee, Roerdum, Era, Sinar, THR Gegar, Gempak dan Royale Chulan.
Pengarah Projek, Muhamad Firdouz Abd Razak berkata, kehadiran penaja amat penting untuk menjayakan konsert sebegini, terutama dalam industri hiburan yang mencabar sekarang. “Kehadiran Radja dan Wali di Malaysia memang dinantikan, tetapi sokongan Rakan Strategik banyak membantu dari segi logistik dan penajaan,” katanya ketika sidang media dan media gathering di Redbox The Garden, Mid Valley City, pada Rabu.
Konsert ini bakal menampilkan lagu-lagu hit Radja seperti “Jujur”, “Bulan” dan “Cinderella”, manakala Wali akan membawakan “Cari Jodoh”, “Baik-Baik Sayang” dan “Tomat (Tobat Maksiat)”. Persembahan dijanjikan sarat dengan tenaga, emosi dan nostalgia yang akan membuat peminat teruja.
Ian Kasela dari Radja berkata, “Malaysia selalu dekat di hati kami. Ini satu impian menjadi kenyataan untuk beraksi semula di sini.”
Sementara itu, kumpulan Wali menambah, “Malaysia ibarat rumah kedua kami. Kami merindui sambutan mesra peminat serta juadah enak di sini. Untuk konsert kali ini, kami akan tampil dengan sesuatu yang berbeza.”
Tiket dijual dalam beberapa kategori, bermula RM177 hingga RM977 dan boleh didapati di Fantopia.io. Tiket kerusi biasa sudah habis dijual dalam seminggu, manakala tiket premium banyak ditempah oleh syarikat korporat.
Konsert ini bukan sekadar hiburan, malah menjadi platform nostalgia dan peluang peminat menyaksikan persembahan bertenaga dua nama besar industri muzik Indonesia dalam satu pentas epik.
