Oleh: Aliyaa Azmi
Kumpulan gadis popular Malaysia, DOLLA, kembali dengan single terbaru mereka, “Question”, yang dilancarkan pada 6 November 2025. Lagu pop beremosi ini mengisahkan pengkhianatan, patah hati, dan perjalanan meneguhkan diri selepas dikecewakan.
Menurut Tabby, lagu ini bukan sekadar tentang pasangan yang curang, tetapi lebih kepada berdepan dengan perasaan sendiri. “Ia tentang membenarkan diri rasa sedih dan terdedah, serta jujur dengan emosi sendiri,” katanya.
“Question” ditulis bersama oleh Justin Seow, Kuizz, Aziz Harun, dan ahli DOLLA sendiri iaitumTabby, Sabronzo, dan Angel. Lagu ini menonjolkan penceritaan lirik yang kuat serta melodi catchy, menandakan kematangan seni kumpulan itu. Tabby menambah, proses penghasilan lagu sangat menyeronokkan kerana mereka dapat menyesuaikan lirik dan instrumental untuk menonjolkan emosi sebenar.
Single ini juga menampilkan koreografi bertenaga, hasil kerjasama dengan koreografer Thailand, Akkaraphol Prompen. Sabronzo berkata, “Kami mahu tarian kelihatan yakin tetapi tetap menyeronokkan, dan setiap ahli diberi ruang menonjolkan gaya masing-masing.”
Muzik video “Question” pula menampilkan konsep diner retro, dirakam di Fowlboys, The Campus. Angel berkata, video itu memaparkan sisi DOLLA yang ganas, berani, dan penuh gaya apabila berkonfrontasi dengan teman lelaki yang curang.
Selepas pelancaran single ini, DOLLA bersedia untuk tahun 2026 yang lebih besar, termasuk pelancaran album baharu dan pengembangan ke seluruh Asia Tenggara. Kumpulan ini juga bakal mengadakan konsert “Good Girls Gone Bad” pada 6 Disember 2025.
