Oleh: Aliyaa Azmi
Walaupun industri hiburan tempatan berdepan siri pembatalan konsert sejak awal tahun ini, pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, optimis masa depan penganjuran konsert di Malaysia masih cerah dan berpotensi berkembang ke tahap lebih besar.
Menurutnya, Malaysia mempunyai pasaran peminat muzik yang kuat, kuasa beli yang semakin meningkat dan kedudukan strategik di rantau ini, namun memerlukan beberapa pembaharuan agar industri lebih stabil dan mesra penganjur.
“Saya percaya industri konsert di Malaysia bukan sedang merosot, tetapi berada dalam fasa pembetulan. Ada cabaran, tapi potensinya besar jika kita lakukan beberapa penambahbaikan,” katanya kepada Arena Muzik.
Iman berpandangan industri memerlukan reform struktur, terutamanya berkaitan proses kelulusan konsert, koordinasi agensi dan garis panduan yang lebih jelas bagi memastikan penganjur dapat merancang lebih awal tanpa risiko pembatalan saat akhir.

“Kita perlukan sistem kelulusan yang lebih tersusun dan jelas. Penganjur juga perlukan garis panduan yang konsisten daripada semua pihak berkaitan supaya tidak timbul kekeliruan,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan penubuhan satu platform penyelarasan tetap antara penganjur, kerajaan dan pihak berkuasa bagi membincangkan isu semasa serta menyelaras SOP hiburan secara berkala.
Katanya, negara jiran seperti Singapura dan Korea Selatan menjadi hab konsert antarabangsa kerana mempunyai ekosistem hiburan yang kondusif, stabil dan disokong polisi mesra industri.
“Kalau kita mahukan Malaysia menjadi destinasi konsert pilihan di Asia Tenggara, kita kena pastikan sistem industri menyokong pertumbuhan, bukan membantutkan,” tegasnya.
Namun begitu, Iman yakin dengan peningkatan minat penganjur luar untuk membawa artis ke Malaysia, selain kehadiran ramai artis tempatan berbakat, masa depan industri kekal positif.
“Minat penonton tidak pernah hilang. Tiket tetap terjual, sambutan sangat kuat. Ini bukti industri masih hidup dan akan terus berkembang,” katanya.
