Oleh:Aliyaa Azmi
Nusa Fest kembali dengan kejutan besar apabila hanya dua kugiran handalan, Nidji dari Indonesia dan Bunkface dari Malaysia, diumumkan bakal ‘meletupkan’ pentas Megastar Arena pada 21 Disember ini.
Berbanding penganjuran 2023 yang menampilkan puluhan artis, kali ini Shiraz Projects memilih konsep lebih fokus, dua band dengan reputasi besar untuk mencipta momen epik hujung tahun.
“Energi yang dibawa Nidji sentiasa besar. Ditambah dengan kredibiliti Bunkface yang sudah terbukti, kolaborasi ini dijangka jadi momen epik, bukan sekadar konsert,” kata Penerbit Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim.
Vokalis Bunkface, Sam, turut menganggap penyertaan kumpulannya sebagai bukti sinergi muzik Malaysia-Indonesia yang sentiasa kuat.
“Ini bukan sekadar persembahan biasa. Ia momen paling berharga untuk peminat kami,” katanya.
Nidji pula menyifatkan perkongsian pentas bersama Bunkface sebagai satu penghormatan besar.
“Festival mungkin pernah bersama, tapi sepanggung hanya kami berdua – itu istimewanya,” ujar vokalis Nidji, Ubay.
Konsert yang dijangka ‘all-out’ ini akan berlangsung pada 21 Disember 2025, jam 8.30 malam di Megastar Arena Kuala Lumpur.
Tiket mula dijual pada 2 Oktober, bermula jam 10 pagi melalui www.ticket2u.com.my dengan harga RM228 (Rockzone – Standing), RM198 (Diamond – Seated) dan RM168 (Platinum – Seated).