Oleh: Nadhirah Akmam
AKHIRNYA semua terjawab apabila KRU mengumumkan konsert kelima tahun ini, ‘genKRU The Finale One More Time’ pada 22 November 2025 di Stadium Hoki Bukit Jalil.
Konsert kelima ini dianjurkan selepas empat siri terdahulu di Axiata Arena Bukit Jalil yang mencatat kejayaan besar termasuk dua rekod Malaysia Book of Records (MBR) iaitu ‘Most Show in a Single Concert Series’ dan ‘Most Concert Tickets Sold Out in an Hour’.
Penganjur Icon Entertainment melalui Iman Tang berkata, penganjuran kali ini adalah reaksi terhadap permintaan tinggi peminat dan sokongan kukuh penaja.
“Sejak Mei lalu, kami terus didesak membawa KRU kembali ke pentas. Finale ini memenuhi hasrat ramai,” jelasnya.
Menurut Iman, trend konsert berhari-hari sudah menjadi norma di peringkat global dan kini turut berkembang di Malaysia.
“Fenomena ini bukti industri hiburan kita berada pada tahap sihat kerana permintaan tinggi dilunaskan dengan penganjuran tambahan,” katanya.

Bagi KRU sendiri, konsert kelima ini dilihat sebagai perkembangan positif buat muzik tempatan.
“Kami tidak pernah menyangka akan ada siri kelima. Tetapi ini bukti pemuzik lokal tidak dipinggirkan dan mampu menjadi gamechangers industri,” ujar KRU.
‘GenKRU The Finale One More Time’ akan berlangsung pada jam 8.30 malam dengan harga tiket bermula RM188 hingga RM558. Pembelian boleh dibuat melalui Ticket2U https://www.ticket2u.com.my/genkruFinale manakala hotline pertanyaan dibuka di talian 012-6530700.
Konsert turut mendapat sokongan Etiqa sebagai rakan strategik utama, DTC sebagai pengangkutan rasmi, manakala Era, Sinar, Gegar dan Zayan menjadi radio rasmi bersama Astro Gempak sebagai rakan digital.
Terdahulu, konsert KRU pada 25 Mei lalu yang sepatutnya berlangsung sehari dilanjutkan hingga empat hari penuh. Semua tiket habis terjual, menjadikan KRU artis tempatan pertama mencipta kejayaan konsert mega berturut-turut di Malaysia.