Oleh:Aliyaa Azmi
Empat figura muzik tanah air, Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel bakal bersatu dalam konsert EMPAT Live in Kuala Lumpur 2025 pada 18 Oktober depan di Mega Star Arena.
Konsert anjuran Anuar Zain Network dengan kerjasama Altus ProHouse ini menyatukan dua generasi penghibur dalam sebuah persembahan istimewa, lebih bermakna apabila keempat-empat artis berkenaan mempunyai pertalian kekeluargaan.
Kolaborasi itu turut menandakan penyatuan julung kali antara adik-beradik Ziana dan Anuar dengan anak saudara mereka, Ernie serta suaminya, Syamel.
“Ini adalah sebuah projek yang sangat mengujakan. Saya dan kakak, Ziana, bersama anak buah kami Ernie dan suaminya Syamel, akan bergandingan di pentas untuk menghiburkan anda semua,” kata Anuar.
Menurut Ziana, konsert berkenaan adalah hadiah istimewa buat peminat yang mahu menikmati karya dua generasi dalam satu malam.
“Saya tidak mahu menjanjikan sesuatu yang luar biasa, tetapi datanglah dan nikmati EMPAT Live in Kuala Lumpur 2025. Konsert ini bukti peminat kita sentiasa menyokong industri muzik tempatan,” katanya.
Ernie pula mengakui terharu apabila akhirnya dapat berkongsi pentas bersama bapa dan ibu saudaranya.
“Saya menangis selepas dilamar untuk merealisasikan konsert ini. EMPAT Live in Kuala Lumpur 2025 adalah impian saya sejak dulu lagi,” katanya.
Bagi Syamel, peluang terbabit dalam projek itu adalah sesuatu yang luar biasa.
“Ziana Zain, Anuar Zain dan Ernie Zakri adalah legenda. Energi kami berempat boleh menghasilkan konsep persembahan yang menarik,” katanya.
Konsert berkenaan akan diarahkan Jennifer Thompson dengan Sze Wan sebagai pengarah muzik, dibantu pemuzik tempatan berpengalaman.
Tiket akan mula dijual bermula Jumaat ini pada 10 pagi menerusi www.ticket2u.com.my/empatkl, dengan harga bermula RM288 (Bronze) hingga RM2,088 (Royal Twin Seat – dua tiket). Pembelian untuk Orang Kurang Upaya boleh dibuat melalui talian +6011-1190 0518.