Oleh: Tyah Helmi
KUMPULAN muzik tempatan BluntSheep mencipta detik bersejarah apabila melancarkan mini album istimewa berjudul ‘Di Puncak Dunia’, satu karya yang menyatukan semangat patriotik, aspirasi anak muda dan cita-cita seni yang tinggi.
Di bawah naungan Padu Records, BluntSheep dianggotai tiga anak muda berusia 18 tahun iaitu Atta Rumnan, Umar Naufal dan Mosses yang tampil berani membawa mesej perjuangan dan perpaduan melalui muzik.
Bekas pemain bass mereka, Dzaff, kini direhatkan bagi memberi tumpuan kepada pelajaran, sementara posisi tersebut digalas Jayden bersama Ariff Azmi sebagai gitaris kedua.
Dalam satu kenyataan, kumpulan ini memaklumkan bahawa mini album tersebut memuatkan empat lagu, termasuk judul utama Di Puncak Dunia, yang membawa mesej kebangsaan dan harapan untuk mengangkat nama Malaysia ke pentas global.
“Album ini lahir daripada rasa cinta yang mendalam terhadap tanah air.
“Walaupun berbeza, rakyat Malaysia tetap sejiwa dan bersatu demi mengangkat martabat negara,” katanya.
Lebih membanggakan, pelancaran album ini turut mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures menerusi Dana Kandungan Kreatif Kebolehpasaran Domestik 2.0, selaras dengan dasar Kerajaan Madani yang komited memperkukuh ekosistem bakat lokal dalam industri kreatif negara.
Antara lagu yang dimuatkan dalam album ialah Di Puncak Dunia, Lelah, Cinta Paling Hebat dan Hanya Dia, yang kini boleh distrim di semua platform digital utama.
Dengan sokongan pelbagai pihak, BluntSheep yakin karya mereka bukan sahaja mampu memberi inspirasi kepada generasi muda di tanah air, malah membuka ruang untuk menembusi pasaran antarabangsa sebagai suara baharu Malaysia yang segar dan berani.