Oleh: Aliyaa Azmi
Penyanyi bersuara emas, Ernie Zakri, kini berada di ambang detik penting dalam kerjaya muziknya apabila namanya tercalon dalam sembilan kategori utama di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24).
Dengan malam kemuncak semakin hampir, Ernie tidak menyembunyikan harapan dan debaran yang mengiringi langkahnya ke pentas berprestij itu.
“Besar harapan saya semoga ada rezeki dapat membawa beberapa anugerah pulang ke rumah, agar persembahan saya pada malam AIM24 dapat berikan yang terbaik kepada semua yang menonton,” katanya penuh harapan.
Bagi Ernie, pencalonan itu sendiri sudah menjadi satu pengiktirafan bermakna terhadap usaha gigihnya bersama pasukan produksi.
“Apabila nama kita tercalon dalam banyak kategori, itu sudah jadi satu kemenangan moral.
“Ia tanda hasil kerja saya bersama komposer, penulis lirik dan kru produksi dihargai,” ujarnya.
Ernie, atau nama penuhnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, bukanlah nama asing dalam industri muzik tanah air.
Namun AIM24 kali ini membawa makna tersendiri buatnya kerana ianya bukan sekadar pertandingan tetapi medan untuk menghargai seni dan semangat rakan-rakan seperjuangan.
“Harapan saya buat rakan-rakan yang lain juga, semoga dengan adanya AIM24 menjadikan kita lebih bersemangat untuk berikan yang terbaik untuk semua penggemar muzik,” tambahnya.
Antara kategori yang menyaksikan namanya tersenarai ialah Vokal Wanita Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik, Kulit Single/Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Rakaman Lagu Terbaik, Video Muzik Terbaik, Runut Bunyi Terbaik Dalam Filem/Drama dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik.
Dengan persaingan sengit daripada nama-nama besar lain, AIM24 dijangka menjadi malam penuh emosi dan keindahan muzik tempatan.
Malam kemuncak AIM24 akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 13 September 2025.