Oleh:Aliyaa Azmi
Detik bersejarah semakin hampir! Hanya tinggal 19 hari sebelum konsert ELITE ’25 membuka tirainya, peminat setia kumpulan popular era 90-an itu masih berpeluang mendapatkan tiket bagi menyaksikan kemunculan semula lima bintang pujaan mereka.
Menerusi perkongsian di Instagram rasmi, Linda Rafar, Azza, Abby Abadi, Shasha Saidin dan Watie Sadali dilihat giat membuat persiapan terakhir, termasuk latihan vokal dan tarian yang semakin diperkemaskan. Masing-masing tidak menyembunyikan rasa teruja untuk kembali beraksi di hadapan ribuan peminat.
Lebih mencuri perhatian, wajah kesemua anggota Elite kini menghiasi papan iklan gergasi di Jalan Raja Chulan. Kehadiran billboard tersebut menjadi simbolik kepada kebangkitan semula mereka selepas lebih dua dekad, selain mengundang nostalgia dalam kalangan warga kota dan pencinta muzik 90-an.

Bagi memeriahkan lagi malam penuh kenangan itu, penganjur turut memperkenalkan dua kategori tiket baharu di Level 3 iaitu Trauma (RM98) dan Bila (RM88). Inspirasi nama kategori diambil daripada lagu-lagu ikonik Elite, khas buat peminat yang ingin merasai kehangatan konsert dengan harga lebih mesra poket.
Tidak terhenti di situ, dua kumpulan terkenal iaitu Alpha dan X Factor disahkan sebagai artis jemputan terbaharu. Kehadiran mereka dijangka menambahkan lagi warna, tenaga dan kejutan pada malam yang bakal sarat dengan emosi, kegembiraan serta memori indah.
Lebih menarik, konsert kali ini membawa konsep unik bertemakan catwalk. Tema tersebut mencetuskan keterujaan luar biasa apabila peminat di media sosial sudah pun berkongsi persiapan gaya dan fesyen masing-masing, ada yang merancang outfit khusus demi meraikan malam bersejarah bersama idola mereka.
Dengan gabungan nostalgia, penampilan artis jemputan, serta konsep persembahan yang segar, ELITE ’25 dijangka menjadi antara konsert paling dinanti tahun ini.
Bagi yang belum mendapatkan tiket, anda boleh membuat pembelian melalui laman rasmi www.ticket2u.com.my/elite.