Penyanyi rap tempatan, Balan Kash kembali dengan video muzik (MV) terbaharu berjudul ‘Cekap’, bersempena sambutan bulan kemerdekaan yang diterbitkan di bawah label miliknya, Balan Kash Entertainment.
‘MV Cekap’ menampilkan sisi versatil Balan dengan gabungan elemen hip-hop moden, muzik klasik India dan sentuhan tradisional Malaysia dan merupakan lagu utama dalam album penuh pertamanya dalam bahasa Melayu.
Menurut Balan, penggunaan perkataan ‘cekap’ sebagai tajuk memberi simbolik ketepatan, keberanian dan suara rakyat yang mahu didengar serta mencerminkan keyakinan dalam menyuarakan isu yang dekat dengan jiwa.
Menariknya, Balan turut menerima dua pencalonan dalam kategori ‘Lagu Hip-Hop Terbaik’ di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24), satu pencapaian membanggakan buat kariernya.
Hasil arahan Kinggolddigga, MV ini dibuka dengan adegan Dikir Barat yang membawa elemen budaya tempatan ke pentas moden. Visualnya sarat dengan simbolik perpaduan dan kebanggaan Malaysia.
“Saya mahu permulaan yang benar-benar ‘Malaysia’. Dikir Barat melambangkan semangat rakyat, dan ia hidup bersama muzik moden,” kata Balan.
Lagu ini turut mengangkat mesej perpaduan yang masih utuh selepas lebih 60 tahun merdeka. Bagi Balan, karya ini lahir daripada pengalamannya membesar di Klang dalam komuniti majmuk.