Oleh: Aliyaa Azmi
Nama Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, sekali lagi mencuri perhatian apabila kisah perjalanan hidupnya diangkat dalam buku teks sekolah di Filipina.
Pengiktirafan itu secara tidak langsung meneguhkan lagi kedudukan penyanyi tersohor berusia 45 tahun itu sebagai ikon muzik Asia yang memberi inspirasi.
Perkara berkenaan terbongkar selepas seorang individu dipercayai rakyat Filipina meninggalkan komen di laman TikTok Siti, bertanyakan sama ada beliau adalah tokoh seni yang dipaparkan dalam buku teks negara mereka.
Tidak lama kemudian, komen itu disusuli pengguna lain yang berkongsi helaian buku teks berkenaan, mengesahkan nama Siti tersenarai sebagai sebahagian daripada bahan pembelajaran rasmi di sekolah Filipina.
Menariknya, pelantun lagu Aku Bidadari Syurgamu itu hanya membalas komen terbabit dengan emoji hati merah, namun sudah cukup membuatkan peminat teruja.
Di ruangan komen, rata-rata netizen Malaysia meluahkan rasa bangga dengan pencapaian tersebut.
“Bangga Malaysia ada ikon sehebat Siti Nurhaliza,” tulis seorang pengguna.
“Ini bukti Siti memang legenda di Asia Tenggara,” kata warganet lain.
Bagi peminat, pengiktirafan itu adalah penghormatan besar buat Siti sekali gus membuktikan pengaruh penyanyi nombor satu negara itu terus segar di pentas serantau.