Oleh: Aliyaa Azmi
Dunia muzik Asia Tenggara dikejutkan dengan kerjasama bersejarah apabila tiga bintang muda dari Malaysia, Indonesia dan Brunei iaitu Aisha Retno, Nadhif Basalamah dan Aziz Harun bergabung dalam single terbaru berjudul “Kota Ini Tak Sama Tanpamu”. Lagu penuh emosi ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.
Single ini dicipta bersama pada tahun 2024 dan lahir daripada pertemuan santai tiga artis tersebut di sebuah studio di Kuala Lumpur.
Tanpa perancangan, idea kecil itu akhirnya berkembang menjadi sebuah karya besar yang menyatukan tiga budaya muzik serumpun.
Produksi akhir dikendalikan oleh penerbit terkenal Indonesia, Petra Sihombing, yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan nama besar seperti Raisa, Isyana Sarasvati dan Bernadya. Sentuhannya yang moden dan emosional menjadikan lagu ini sebuah karya pop istimewa dari awal hingga akhir.
Kisah Di Sebalik Lagu
Aziz Harun berkata lagu ini membawanya mengimbau kenangan indah di Kuala Lumpur.
“KL ada pesona tersendiri. Waktu Nadhif datang dengan idea menulis tentang kota ini, saya terus rasa dekat dengan maksudnya. Rakaman di Ubud bersama Petra juga pengalaman yang sangat seronok.”
Nadhif Basalamah pula berkongsi:
“Semuanya bermula secara santai. Tak sangka idea kecil ketika singgah di KL boleh menjadi lagu yang menghubungkan tiga negara.”
“Bekerja dengan Nadhif dan Aziz terasa macam kawan lama. Liriknya ada sisi manis dan sedikit nakal, macam bila kita cuba pujuk seseorang supaya cuti di kota itu lebih lama.” kata Aisyah.
Sebuah Kota, Sebuah Rasa
Dengan melodi pop kontemporari, harmoni vokal yang lembut, serta lirik yang menyentuh hati, “Kota Ini Tak Sama Tanpamu” membawa mesej bahawa sebuah kota tidak pernah sama tanpa insan istimewa di sisi.
Lagu ini kini boleh didengar di Spotify, Apple Music, YouTube Music dan platform digital lain.