Dalam perjalanan seni yang hampir mencecah satu dekad, penyanyi bersuara lantang, Ara Johari, menyimpan hasrat tinggi untuk melihat namanya mewarnai pentas Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24).
Namun, harapan itu tidak kesampaian apabila single popularnya, Menjaga Jodoh Orang Lain (MJOL), gagal mara ke senarai Top 5 akibat kesilapan teknikal.
Ara mengakui perkara itu sesuatu yang cukup perit buat seorang artis yang baru pertama kali menghantar penyertaan ke anugerah berprestij itu.
Lebih memilukan, lagu ciptaan komposer Indonesia terkenal, Ilham Baso, yang sudah mengutip lebih 20 juta tontonan di YouTube, sebenarnya mempunyai potensi besar untuk bersaing dalam kategori Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis atau Komposer Luar Negara Terbaik.
Pengurus Ara, Mohd Asrul Abdul Talib, mengakui kekecewaan itu sukar ditelan, apatah lagi peluang ini sepatutnya menjadi detik sulung Ara menjejakkan kaki ke gelanggang AIM.
“Memang Ara sangat kecewa bila lagu itu langsung tidak dicalonkan hanya kerana kesilapan teknikal. Kami pun baru tahu selepas undian ditutup. Ia lebih menyakitkan kerana ini sepatutnya peluang pertama Ara selepas hampir 10 tahun dalam industri,” katanya,dipetik Berita Harian.
Biarpun kecewa, Asrul melihat apa yang berlaku sebagai pengajaran besar buat pasukannya. Katanya, selepas ini mereka mungkin akan lebih berhati-hati dan menguruskan sendiri proses pencalonan agar kesilapan sama tidak berulang.
Bagi Ara pula, meskipun hatinya remuk, dia memilih untuk tidak menuding jari. Baginya, setiap rezeki sudah ditentukan.
“Kami anggap tiada rezeki kali ini. Tak ada gunanya nak perbesarkan isu sebab Top 5 sudah diumumkan. Walaupun kecewa, semangat Ara tidak akan patah,” ujar Asrul mewakili penyanyi itu.
Senarai akhir kategori tersebut akhirnya menyaksikan Ernie Zakri (Masing-Masing), Datuk Seri Siti Nurhaliza (Sejarah), Meisks (Dursila), Aina Abdul feat Fabio Asher (Cinta Tak Pernah Tepat Waktu) dan Sekumpulan Orang Gila feat Boniex For Revenge (Naluri) berjaya mara ke peringkat akhir.
AIM24 dijadualkan berlangsung pada 13 September depan, terus menjadi pentas eksklusif yang meraikan karya terbaik serta menobatkan bintang-bintang hebat industri muzik tanah air.