Oleh: Aliyaa Azmi
Penyanyi dan komposer, Aina Abdul, melakar pencapaian manis apabila mendahului senarai pencalonan Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) bersama dua lagi nama besar, Dayang Nurfaizah dan Ernie Zakri, masing-masing dengan sembilan pencalonan.
Buat pertama kali bertanding di AIM, Aina, 32, mengakui terkejut dengan jumlah kategori yang menyenaraikan namanya.
“Sebenarnya saya masih rasa terkejut sebab ini adalah AIM pertama saya. Saya rasa macam kelu dan terharu. Kita hantar untuk hampir semua kategori, tapi yang mana dapat, kita serahkan kepada Allah. Mana yang tak dapat pun tak apa,” katanya,dipetik.
Menghantar kedua-dua albumnya, Imaji dan Imaji Deluxe, Aina tidak menyangka kedua-duanya berjaya menembusi senarai akhir.
“Saya gembira sebab dua-dua versi album yang saya hantar dapat tempat. Terima kasih kepada ketua juri, Datuk Mokhzani, dan semua juri. Saya memang dah lama mengimpikan nak pegang anugerah AIM ini. Bila saya lihat di studio sifu saya, Abang Ajai, ada banyak trofi AIM, itu jadi pembakar semangat,” ujarnya.
Antara kategori yang menyaksikan Aina bersaing ialah Vokal Wanita Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Runut Bunyi Terbaik, Kolaborasi Bersama Artis Luar Negara Terbaik, Album Terbaik, Kulit Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Rakaman Lagu Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik.
Pengerusi RIM merangkap Jawatankuasa Penganjur AIM24, Rosmin Hashim, berkata proses penjurian dilakukan secara telus dengan pengauditan oleh badan bebas.
Ketua Juri AIM24, Datuk Mokhzani Ismail, pula memaklumkan sebanyak 862 pencalonan diterima untuk 30 kategori, termasuk empat kategori baharu iaitu Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik dan Kugiran Terbaik.
Malam kemuncak AIM24 akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, pada 13 September ini.