Oleh: Tyah Helmi
KUALA LUMPUR:Penyanyi legenda tanah air, Datuk Aishah kembali dengan buah tangan istimewa buat peminat menerusi lagu baharu berjudul Taman Keabadian, ciptaan komposer berbakat besar, Senna.
Lagu penuh emosi yang menyentuh tema perpisahan dan kerinduan itu bakal dilancarkan di semua platform penstriman digital pada 8 Ogos ini.
“Setiap lagu yang saya nyanyikan adalah sebahagian daripada hidup saya, dan saya harap ia juga menjadi sebahagian daripada hidup orang lain,” kata Aishah dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, Taman Keabadian mengangkat kisah perpisahan dengan insan tersayang – sama ada ibu bapa, sahabat atau teman seperjuangan – yang telah pergi meninggalkan kita.
“Dalam bait-bait liriknya, ada rasa rindu yang mendalam, tetapi disulami harapan untuk pertemuan semula di ‘taman keabadian’,” katanya.
Sekian lama mengukir nama dalam industri seni suara tanah air, Aishah terus dikenang menerusi lagu-lagu ikonik seperti Janji Manismu, Bahtera Merdeka dan Kemaafan Dendam Yang Terindah. Karyanya bukan sahaja terus relevan, malah dinyanyikan semula oleh generasi baharu.
Beliau turut menerima pelbagai pengiktirafan termasuk di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), Anugerah Industri Muzik (AIM), serta pengurniaan gelaran Datuk atas jasa dalam dunia seni.
Aishah kini turut aktif berkongsi perkembangan seninya di media sosial menerusi Instagram dan TikTok rasmi: @aishahjmm.
Peminat turut berpeluang menikmati semula versi baharu beberapa lagu klasik beliau seperti Janji Manismu, Sensation, Fatwa Pujangga, Don’t Let Me Fall Alone dan Syurga Di Telapak Kaki Ibu.