KUALA LUMPUR: Kumpulan rock popular Indonesia, Kotak bakal menggegarkan Zepp Kuala Lumpur pada 21 September ini menerusi konsert istimewa Road to 21st Anniversary KOTAK x Arda Hatna.
Menariknya, konsert ini turut menampilkan gandingan istimewa antara vokalis utama Kotak, Tantri Syalindri Ichlasari, dan suaminya, Arda Hatna, vokalis kumpulan Naff.
Peminat bakal menyaksikan penyatuan dua dunia muzik yang berbeza energi rock dari Kotak dan sentuhan balada emosional dari Arda dalam satu malam yang dijangka sarat emosi dan kenangan.
Tantri menyifatkan konsert ini sebagai simbol perjalanan cinta dan seni yang telah mereka lalui bersama selama lebih dua dekad.
“Ini bukan sekadar kolaborasi muzik. Ia adalah penyatuan dua jiwa seni yang selama ini berjalan seiring,” katanya dalam kenyataan media.
Arda pula dikenali dengan lagu-lagu ikonik seperti Akhirnya Ku Menemukanmu dan Kau Masih Kekasihku, yang dijangka turut dipersembahkan secara langsung buat peminat di Malaysia.
Penganjur konsert, Boomset Planning, berkata persembahan ini bukan sekadar meraikan ulang tahun ke-21 Kotak, tetapi juga kisah ketabahan dan kesetiaan pasangan dalam dunia seni.
Venue eksklusif Zepp Kuala Lumpur dipilih bagi mencipta suasana lebih intim, namun tetap gah untuk meraikan malam penuh makna ini.
Antara yang dinanti peminat termasuklah persembahan duet khas, lagu-lagu popular Kotak serta debut lagu solo Arda secara langsung di Malaysia.
Tiket berharga antara RM198 hingga RM3,888 boleh dibeli melalui laman web rasmi www.ticket2u.com.my.