KUALA LUMPUR : Peminat muzik Nusantara akan disajikan malam istimewa pada 28 September ini apabila tiga nama besar serantau, Pamungkas, Bilal Indrajaya dan Fugo bergabung tenaga untuk konsert Panggung Purnama di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert yang dianjurkan oleh UdaraLaskhar itu menjanjikan gabungan unik irama, budaya dan penceritaan dari Indonesia dan Malaysia, sekaligus menjadikannya antara acara muzik paling dinanti tahun ini.
Pamungkas, artis serba boleh dari Indonesia, terkenal dengan lagu To The Bone dan bakat luar biasa sebagai penyanyi, penerbit muzik dan pemain dram kini sah menyertai barisan utama konsert ini bersama kumpulan indie Malaysia, Fugo.
Konsert ini turut menampilkan Bilal Indrajaya, penyanyi dan penulis lagu dari Tangerang Selatan, yang dikenali melalui karya seperti Biar dan kolaborasinya bersama Noh Salleh dalam lagu Niscaya.
“Gabungan Pamungkas, Fugo dan Bilal Indrajaya menjadikan Panggung Purnama satu konsert yang bukan sekadar hiburan, tetapi juga pengalaman emosi dan budaya,” kata wakil penganjur, John Labu.
Pamungkas, yang memulakan kerjaya muziknya seawal usia 8 tahun, kini mencuri perhatian peminat seluruh rantau Asia Tenggara selepas meraih jutaan penstriman di Spotify dan tontonan di YouTube.
Fugo pula mencipta nama dalam arena muzik tempatan sejak 2019 dengan gaya pop rock indie yang dipengaruhi elemen 70-an dan 80-an, serta hits seperti As Long As We Stay dan Pentas Sandiwara.
“Kami teruja akhirnya dapat memenuhi permintaan peminat untuk menyatukan tiga nama hebat ini di satu pentas. Kami yakin malam itu akan diingati peminat muzik serantau,” ujar John.
Konsert ini dijangka menarik peminat dari seluruh rantau memandangkan setiap artis mempunyai pengikut setia tersendiri di Malaysia, Indonesia dan negara-negara jiran.
Tiket konsert berharga antara RM179 hingga RM399 dan boleh didapati melalui laman web rasmi www.ilassotickets.com.

