Kumpulan nasyid tersohor Rabbani bakal mengangkat semangat perjuangan dan pengorbanan menerusi Konsert Intifada yang dijadual berlangsung pada 20 September 2025, bertempat di Idea Live Arena, Petaling Jaya, bermula jam 8.30 malam.
Konsert yang mengetengahkan lebih daripada 10 lagu popular Rabbani ini bukan sekadar persembahan muzik, tetapi turut diselitkan elemen dramatik menerusi Segmen Jiwa, yang sarat dengan nilai kemanusiaan dan spiritual.
“Segmen ini membawa penonton menyelami erti perjuangan dan ujian hidup melalui lagu-lagu pilihan yang menyentuh emosi,” kata anggota Rabbani, Azadan Abdurahman, dalam satu kenyataan pada Isnin.
Antara lagu yang bakal dipersembahkan termasuk Hazara, yang menceritakan keberanian seorang sahabat Nabi yang sanggup menyahut seruan jihad pada malam pertama perkahwinannya.
Konsert itu turut dimeriahkan dengan kehadiran kumpulan Brothers sebagai pelengkap persembahan, selain Yabang dan Aeydan sebagai artis jemputan.
Tiket akan mula dijual pada 31 Julai, jam 10 pagi melalui platform Ticket2U dan Fantopia.io, dengan harga bermula serendah RM150.