KUALA LUMPUR: Peristiwa bersejarah tercipta di Axiata Arena apabila kumpulan legenda, KRU, mengadakan konsert ‘comeback’ yang bukan sahaja mencipta fenomena tetapi turut mendapat pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records!
Penganjuran konsert selama empat hari berturut-turut, menjadikan KRU artis tempatan pertama mencapai kejayaan itu.
“… KRU merupakan satu-satunya artis tempatan yang berjaya menganjurkan konsert artis tempatan selama empat hari di Axiata Arena,” kata Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dalam satu kenyataan.
Menurutnya, peminat dari seluruh negara membanjiri KL Sports City untuk menyaksikan persembahan ikonik trio Datuk Norman, Datuk Yusry dan Edry Abdul Halim yang menghidupkan kembali nostalgia era 90-an dengan lagu-lagu hits mereka.
Konsert itu juga katanya, mencatat rekod sebagai siri konsert dengan jumlah persembahan terbanyak serta jualan tiket paling pantas, di mana tiket habis terjual dalam masa sejam sahaja!
Oleh kerana sambutan luar biasa, pihak penganjur, ICON Entertainment, mengambil keputusan menambah satu lagi persembahan pada 11 Mei sebagai hadiah kepada para peminat yang tidak mahu melepaskan peluang bersejarah itu.
“PSM amat berbangga dengan pencapaian ini, yang turut menjadi testimoni usaha PSM untuk membantu membangunkan industri hiburan tanah air,” kata Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), yang turut mengucapkan tahniah atas kejayaan besar itu.
PSM berharap lebih banyak penggiat seni dan penganjur acara mengambil inspirasi daripada KRU dan terus mengangkat martabat industri seni tanah air!