oleh Tyah Helmi
“Tak pernah terfikir pun,” demikian kata anggota KRU mengulas mengenai kejayaan luar jangka konsert mereka yang kini masuk malam keempat di Axiata Arena.

Menurut mereka, asalnya hanya rancang satu malam saja tapi dorongan luar biasa daripada peminat, terutama selepas ada yang kecewa tak dapat tiket, mendorong mereka untuk teruskan hingga malam keempat.
“Bukan sangat pasal kami… tapi lebih kepada fans nak hidup balik memori lama. Kami cuma bantu mereka throwback zaman kegemilangan,” katanya.
Malahan, KRU anggap diri mereka sebagai ‘icing on the cake’ iaitu penyempurna kepada malam penuh kenangan buat semua peminat mereka
Ini kata mereka dibuktikan dengan suasana konsert yang menggambarkan kekuatan legasi mereka. Penuh dengan gambar kenangan, hiasan bertemakan era 90-an dan awal 2000-an, malah ramai peminat tampil all out dengan busana dan gaya retro.
Konsert ini benar-benar mengembalikan zaman kegemilangan muzik pop tempatan ketika KRU menjadi antara pelopor genre hip hop, pop dan R&B di Malaysia.
Bermula dengan album sulung mereka sekitar tahun 1992, KRU berjaya memecah tradisi industri ketika itu yang didominasi balada dan rock kapak. Lagu-lagu seperti “Awas”, “Apa Saja”, dan “Fanatik” bukan sekadar hits, tetapi menjadi anthems generasi.
Walaupun mereka telah mengumumkan pembubaran kumpulan pada 2018, sambutan luar biasa konsert GenKRU membuktikan legasi mereka masih hidup dan terus relevan.