Tidak sampai 24 jam, muzik video lagu raya terbaru Datuk Seri Siti Nurhaliza, “Raya Nak Ke Mana?” sudah pun mencecah lebih 100,000 tontonan di YouTube!
Aura Siti sebagai ‘Ratu Lagu Raya’ ternyata masih utuh seterusnya membuktikan popularitinya yang tidak luntur oleh masa.
Lagu berentak zapin moden itu adalah hasil kreativiti komposer muda berbakat, Aisha Retno dan RADi dengan lirik digarap oleh Aisha sendiri bersama Amylea Azizan.
Gabungan elemen tradisional dan moden dalam lagu ini mampu membuatkan ramai orang teruja, ditambah pula dengan vokal mantap Siti yang tak pernah mengecewakan.
“Terima kasih kepada semua yang telah mendengar dan menonton video muzik “Raya Nak Ke Mana?
“Teruskan ‘like’, komen, dan kongsikan video muzik ini untuk memeriahkan sambutan Syawal nanti,” tulisnya.
Netizen pula tak henti-henti memuji lagu ini yang dianggap sebagai ‘lagu raya baru terbaik sejak beberapa tahun kebelakangan ni’.
“Sekali dengar je dah memikat hati! Tambah pula lagu berunsur tradisional memang sentiasa dekat di hati saya,” kata Siti, berkongsi perasaannya setelah pertama kali mendengar demo lagu tersebut.
Semangat tradisi yang diselitkan dalam lagu ini membuatkan ramai peminat terkenang kembali zaman lagu-lagu raya klasik yang pernah Siti bawakan sebelum ini.
Lagu ini juga menjadi bukti bahawa komposer muda tanah air mampu menghasilkan karya yang boleh berdiri sama gah dengan lagu raya legenda.
Ramai peminat sudah mula membandingkan “Raya Nak Ke Mana?” dengan lagu raya ikonik seperti “Balik Kampung”, “Sesuci Lebaran” dan “Anugerah Aidilfitri”.
Selain di YouTube, lagu ini juga boleh didengarkan di semua platform digital sejak 12 Mac 2025, di bawah terbitan SN Legacy Sdn. Bhd dan Universal Music Sdn. Bhd.
Video muzik rasmi pula menampilkan visual penuh warna-warni dan suasana Aidilfitri yang meriah, lengkap dengan tarian zapin yang menceriakan.
Dengan sambutan yang luar biasa ini, tidak mustahil “Raya Nak Ke Mana?” bakal menjadi anthem Aidilfitri yang akan berkumandang setiap tahun! Jadi, korang rasa lagu ini boleh lawan populariti lagu raya klasik tak?