Oleh: Haikal Tajuddin
KRU meneruskan legasi muzik mereka sebagai penyanyi, komposer, penerbit lagu dengan pelancaran single kedua dari album “Kaset” berjudul “One More Time”.
Lagu ini disampaikan dengan penuh emosi oleh Norman, Yusry dan Edry menyerlahkan kematangan penyampaian vokal lagu baharu ini.
“One More Time” ciptaan sepenuhnya oleh mereka bertiga mengekalkan nuansa muzik R&B KRU era 90-an yang masih menjadi siulan ramai hingga kini.
Karya yang mengisahkan kekecewaan seorang insan dalam percintaan dan hanya mampu bergembira dalam kesedihan melihat bekas kekasihnya hidup bahagia dengan orang lain.
Lebih menariknya, KRU juga meneruskan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk kembar digital (Digital Twin) mereka dalam video muzik “One More Time”.
Menerusi video muzik ini peminat berpeluang menyaksikan transformasi wajah KRU dari masa lalu, kini, dan masa depan, memberikan gambaran pengalaman emosi yang unik.
Menurut Pengarah Urusan Sony Music Entertainment Sdn Bhd, Kenny Ong, KRU sememangnya artis serba boleh bukan saja dari sudut nyanyian, penciptaan dan penerbitan lagu tetapi juga dalam penggunaan teknologi terkini bagi penceritaan sesebuah lagu melalui video muzik.
“Kami percaya video muzik “One More Time” akan memberi kesan mendalam kepada penonton malah lagu ini juga bakal menjadi salah satu lagu klasik KRU yang akan kekal relevan untuk puluhan tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, KRU mengeluarkan single pertama dari album “Kaset” berjudul “Voodoo”.
Lagu tersebut telah mendapat sambutan luar biasa bukan sahaja di Malaysia tetapi turut mendapat sambutan hangat dari negara-negara luar seperti Singapura, Brunei, Indonesia, United Kingdom, dan Amerika Syarikat.
Muzik video “Voodoo” di YouTube telah mencecah lebih 1.2 juta tontonan dalam tempoh singkat dan telah berjaya memikat pengikut baru KRU daripada generasi Alpha.