MALAM yang begitu mengagumkan dengan persembahan cukup bertenaga daripada kumpulan, Boney M, membuatkan lebih 3,000 peminat berdansa dengan persembahan lagu-lagu hits mereka.
Persembahan yang begitu rancak menjadikan malam tersebut adalah malam istimewa buat para peminat yang sudah lama menantikan kehadiran mereka semula di atas pentas.
Lebih istimewanya, Malaysia antara yang tersenarai dalam Konsert Jelajah Ulang Tahun ke-50 mereka pada 12 Januari 2025 bertempat di Megastar Arena, Kuala Lumpur.
Kumpulan Boney M yang berasal dari barat Jerman itu diketuai oleh ahli asal kumpulan tersebut iaitu Mazie Williams diikuti dengan Kelly Rahman, Samantha Eletha Scott dan Doreen Patel selaku ahli baru.
Baca juga: Untuk Semua Jiwa bukti gabungan mantap Noki, Hun Haqeem
Pembukaan tirai pentas dimulakan kemunculan Williams dengan berbusana rona merah yang begitu memukau.
Peminat yang hadir cukup teruja lebih-lebih lagi apabila ahli lain muncul di atas pentas dengan barisan lagu ‘hits’ malar segar untuk mempamerkan legasi Boney M.
Baca juga: Permintaan tinggi, Konsert GENKRU tambah sehari lagi
Antara lagu-lagu hits yang didendangkan sebagai halwa telinga bagi para peminat adalah seperti ‘Sunny’, lagu yang mencetus gelombang selain ‘Daddy Cool’, ‘Hooray Hooray’, ‘Belfast’, ‘Ma Baker’, ‘Malaika’, ‘Calendar Song’, ‘Bahama Mama’, ‘I Shall Sing’ dan ‘No Woman, No Cry’.
Bukan itu sahaja, pada bahagian kedua konsert gah itu, Williams kembali dengan penampilan mempesona sambil mengenakan pakaian berkilauan.
Boney M mempersembahkan lagu-lagu kegemaran ramai seperti ‘Brown Girl in the Ring’, ‘Rasputin’, ‘Bahama Mama’ dan ‘Rivers of Babylon’.
Sebelum menutup tirai persembahan, Boney M menyajikan lagu ‘Gotta Go Home’ yang dianggap sebagai ucapan terima kasih kerana hadir dan sentiasa menyokong serta penonton boleh pulang dengan jiwa yang penuh.
Pada 4 Januari lalu, Konsert Jelajah Ulang Tahun Ke-50 Boney M telah bertandang ke Kuching, Sarawak dan berjaya memukau lebih 4,000 peminat yang hadir. — Arena Muzik