JUALAN tiket konsert GENKRU oleh trio legenda negara, KRU, ‘sold out’ walaupun konsert tersebut telah diumumkan akan berlangsung selama dua hari berturut-turut yang bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3 dan 4 Mei 2025 namun, terdapat pengumuman istimewa menanti peminat pada petang ini!
Perkongsian pemilik Icon Entertainment, Iman Tang semalam menimbulkan persoalan kepada ramai peminat berkenaan pengumuman istimewa konsert GENKRU yang akan dibuat pada hari ini.
“AWAS untuk pengumuman Istimewa yang akan dibuat pada 3 Januari 2025. Berita tahun baru pastilah berita yang TERHANGAT DI PASARAN.
“Sesuatu yang menbuatkan anda gembira dan tersenyum 10 di Skala Richter!” tulisnya sebagai kapsyen dalam satu hantaran yang dimuat naik di laman Instagram.
Segalanya akan terjawab pada sidang media yang akan diadakan pada Jumaat, 3 Januari bertempat di Mandarin Oriental Hotel, Kuala Lumpur.
Buat semua peminat KRU, tunggulah pengumuman yang akan dibuat oleh mereka dan Icon Entertainment tentang kemungkinan yang bakal dikongsi bersama peminat yang sentiasa menyokong kumpulan trio tersebut.
Untuk makluman, kali terakhir membuat persembahan pada 2018, KRU yang dianggotai Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim kembali bergabung di pentas industri muzik bagi mengubat kerinduan peminat setia mereka.
Peminat KRU juga diminta memakai tema 90-an seperti Maui & Sons, Vision Street Wear, FUBU dan Timberland bagi merasai sepenuhnya nostalgia zaman itu untuk konsert pada Mei nanti.
Antara lagu yang akan dipersembahkan adalah Mengerti, Apa Saja, Fanatik, Generasiku, Awas, Gadis Jelita, dan banyak lagi. — Arena Muzik