Oleh: Hanim Nadia
KUMPULAN K-pop generasi baharu, xikers yang berada di bawah naungan KQ Entertainment bakal mengadakan konsert pertama mereka di Malaysia sempena siri jelajah konsert dunia di rantau Asia.
Konsert berjudul 2025 xikers World Tour Tricky House: First Encounter In Kuala Lumpur akan berlangsung pada 19 Januari 2025 (Ahad), jam 5.00 petang di JioSpace, Kuala Lumpur.
Sejak membuat penampilan pertama pada 30 Mac 2023, xikers telah mencuri perhatian peminat K-pop di seluruh dunia.
Album mini pertama mereka, “House of Tricky: Doorbell Ringing”, telah mencatatkan kejayaan besar termasuk menduduki tangga pertama di carta Billboard Emerging Artists, tangga keempat di Billboard World Albums dan tangga ke-75 di Billboard 200, membuktikan mereka sebagai kumpulan yang kuat dalam industri K-pop.
EP kedua mereka, “House of Tricky: How to Play” terus mengukuhkan kedudukan xikers apabila jualan album minggu pertama melonjak hampir dua kali ganda.
Kumpulan ini kemudiannya mengadakan jelajah dunia pertama mereka, Tricky House: First Encounter di Amerika Syarikat yang memperkukuh lagi reputasi mereka sebagai bintang K-pop yang sedang meningkat naik.
Selepas berjaya mengadakan konsert di Australia, xikers akan membawa persembahan bertenaga mereka ke Bangkok, Kuala Lumpur, Macau dan Jakarta.
Jualan tiket untuk konsert di Kuala Lumpur akan bermula pada 26 Disember 2024, pukul 11.00 pagi menerusi laman https://my.bookmyshow.com/e/XIKERSMY, dengan harga tiket berjumlah RM696 (SVIP), RM596 (VIP), dan RM296 (GA).
Peminat berpeluang menikmati pelbagai Faedah Peminat (Fan Benefits) seperti Prioriti Masuk, Foto Berkumpulan, Akses Raptai (Soundcheck), Sesi Hi-Touch, serta Hadiah Eksklusif seperti Lanyard, Set Poskad, Poster Bertandatangan, dan Polaroid Bertandatangan.
Untuk maklumat lanjut, peminat boleh mengikuti perkembangan terkini di laman sosial rasmi BoxLiveAsia di Facebook (www.facebook.com/boxliveasia) dan Instagram (www.instagram.com/boxliveasia). — Arena Muzik