Oleh: Fazleen Safina
ARTIS tempatan tetap komited mewarnai dunia hiburan tanah air pada kurang beberapa minggu lagi tahun 2024 bakal menutup tirainya.
Susulan itu, pentas Dewan Konsert Seri Budiman, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor bakal digegarkan dengan Festival of Drums and Percussion Malaysia pada 7 Disember ini.
Festival satu hari tersebut menjanjikan perhimpunan penuh dengan warna-warni, membawa pelbagai alat muzik dram, gendang dan perkusi ke arah mencipta keharmonian irama dan bunyi berbilang budaya.
Antara artis dan pemuzik terlibat termasuk, Arthur Kam, Batteryheadz Percussion, Datuk Zainal Abidin, Kamrul Hussin, Lola, XPDC, Pa’ang Zaman, Rie Tsuji, Sān Percussion, Steve Thornton, Gong, Ujang Exists dan jemputan khas lainnya.
Lebih mengujakan, khalayak akan disajikan dengan acara-acara Drums & Percussion Showcase dengan sesi Interaktif, – bengkel dan klinik muzik dalam genre, persembahan ‘drumline’ serta sebuah Gala Konsert All-Star Show yang mengagumkan.
Baca juga: A Night With Sumandak Sabah: 9 artis kelahiran Sabah gabung satu pentas
Menurut gitaris terkenal, Aznan Alias, festival berkenaan perlu ditonton oleh semua golongan, terutamanya peminat muzik tanah air kerana ia menghimpunkan semua pemuzik terkenal negara.
Aznan yang juga pengarah muzik buat penyanyi terkemuka, Datuk M Nasir meyakini bahawa, acara kemuncak bagi festival ini adalah bengkel dan klinik yang diadakan pada sebelah pagi.
“Ini merupakan peluang terbaik untuk penonton, peminat muzik dan pelajar untuk mendapatkan infomasi terbaik, bertanya dan berdepan secara terus, sebuah acara ‘up close & personal and intimate’.
“Festival ini juga memberikan bukan satu tetapi lapan klinik untuk dihadiri dan audiens boleh menimba ilmu dan pengalaman yang banyak di sini,” katanya.
Baca juga: Voodoo bakal cipta nostalgia terbaru KRU
Dalam pada itu, Jin mewakili JS Music selaku penganjur berkata, objektif utama festival itu dianjurkan adalah untuk mempromosi seni drum dan perkusi selain ia turut menyumbang kepada industri kreatif Malaysia, selain meningkatkan kesedaran tentang kepelbagaian alat perkusi dan teknik melalui ceramah, bengkel dan persembahan.
“Oleh yang demikian, kami selaku penganjur juga menganjurkan Gala Konsert ‘All-Star Show’ yang merupakan kolaborasi dan gabungan persembahan Moden Drum, Latin, ‘World & Etnik Percussion’, dan ‘Malaysia traditional percussion’.
“Ia turut diiringi oleh Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) bersama artis dan pemuzik jemputan untuk mempamerkan kepada semua bahawa bakat pelaku seni tempatan kita mempunyai kredibiliti yang perlu terus disokong dan dibanggakan,” ujarnya.
Untuk makluman, dua kategori tiket iaitu Festival Pass dan Tiket Konsert sudah mula dijual kepada pengunjung.
Pemegang Festival Pass akan dapat menikmati keseluruhan festival, termasuk makan malam, sementara tiket konsert pula terhad kepada pengunjung yang menyaksikan Gala Konsert.
Untuk pembelian tiket, sila layari: https://jsdrumfest2024.ubertickets.asia dan info lanjut sila layari: https://jsmusic.my/pages/festival-of-drums-and-percussion-malaysia2024. — Arena Muzik