PENYANYI tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza telah dinobatkan sebagai Biduanita Negara selepas menerima Anugerah Khas Biduan Negara semalam.
Siti atau nama sebenarnya, Siti Nurhaliza Tarudin, 45, menerima anugerah itu ketika majlis Anugerah Seni Negara (ASN) 2024 yang dianjurkan di Kuala Lumpur.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan kepada legenda muzik tanah air itu.
Dalam pada itu, Siti Nurhaliza sempat merakamkan penghargaan kepada semua yang membantu selaku tulang belakang dalam kerjaya seninya selama ini.
Siti turut menyatakan bahawa anugerah pengiktirafan tersebut merupakah anugerah yang besar buat dirinya.
”Kepada Allah SWT saya panjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kerana dengan kurniaan bakat, saya berpeluang memanfaatkannya untuk memberi nilai-nilai positif, inspirasi dan pengaruh yang baik.
”Amanah dan kepercayaan ini juga merupakan satu tanggungjawab buat saya secara peribadi untuk terus memartabatkan seni dan budaya terutama dalam bidang muzik untuk terus cemerlang dan subur mewarnai zaman.
”Dari hati yang luhur, saya melihat anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan kepada pencapaian kerjaya seni saya, namun merupakan lambang penghargaan kepada semua insan seni yang sentiasa memperjuangkan keindahan budaya dan muzik tanah air,” katanya.
ASN 2024 turut diserikan dengan keberangkatan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah yang berkenan mencemar duli hadir ke majlis berkenaan.
Siti Nurhaliza juga sempat menyampaikan dua lagu dalam majlis tersebut dan kemudian menambah satu lagi persembahan, medley lagu popular beliau di hujung majlis.
Beliau juga sempat menyampaikan ucapan ringkas, menyatakan komitmen beliau untuk terus memberikan yang terbaik untuk industri seni tanah air.
“Bagi saya, ini merupakan anugerah yang besar untuk saya. Prinsip saya dalam kerja atau sayang saya lakukan, saya harus memberi sumbangan dan kita semua ada peranan dalam kerjaya kita.
“Insya-Allah saya akan terus berikan yang terbaik untuk industri muzik tanah air dan bawa muzik kita ke peringkat lebih jauh lagi, lebih tinggi,” ujarnya.
Selaku penerima Anugerah Khas ASN 2024: Biduan Negara, beliau akan menerima wang tunai RM30,000, kain songket, watikah serta trofi dan status sebagai Seniman Tamu.
Untuk info, Siti Nurhaliza merupakan individu keempat yang diberikan anugerah berprestij itu, selepas Allahyarham Saloma pada tahun 1978, Allahyarham Datuk Sharifah Aini pada 2006 dan Allahyarham Tan Sri SM Salim pada 2013.