Oleh: Haikal Tajuddin
SELAMA 16 tahun mencipta nama di persada dunia, akhirnya kumpulan Indonesia, Govinda menghadiahkan penonton dengan konsert ‘Govinda Hal Hebat’ yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.
Menerusi konsert tersebut, Govinda telah memperbentangkan buat peminat malaysia dengan dokumentari khas sepanjang kariernya mencipta album khas di London.
“Perjalanan untuk mewujudkan mimpi besar Govinda tersebut, kita buat sebuah video dokumentari, bahkan di Indonesia juga kami tidak pernah menayangkan video ini.
“Jadi, istimewanya untuk peminat di Kuala Lumpur, kita tayangkan untuk anda semua yang hadir,” kata vokalis Govinda,Ifan.
Dikatakan, album yang diberi nama, Govinda Live Studio Session 2023 dengan menyajikan 12 buah lagu khas kepada peminat.
Baca juga: OMG Oktoberfest 2024 berjaya pukau lebih 5,000 pengunjung
Dokumentari itu memaparkan bagaimana kumpulan Govinda melakukan rakaman di Abbey Rod Studio, Westminster, London.
Dalam pada itu, kumpulan Govinda juga turut mengakui, persembahan mereka di Malaysia tidak disangka mampu menerima sambutan yang sangat baik oleh peminat.
Selain itu, dalam konsert yang penuh gemilang itu, Govinda telah mendendangkan beberapa lagu yang menjadi tanda aras buat kumpulan tersebut istimewa untuk peminat di Malaysia seperti Bawa Aku Lari, Karya Seni, Rahasia Besar dan Cinta Terakhir.
Seterusnya, pentas pada malam itu menjadi semakin hangat dengan penampilan bintang Indonesia dengan vokal yang meruntun jiwa iaitu Elica Paujin dan Fadly Padi.
Bukan itu sahaja, Govinda turut berkesempatan untuk berkongsi pentas bersama Aina Abdul dan mempersembahkan lagu Tentang Rasa dan Episode Bahagia
Baca juga: Ella terajui konsert “A Night To Remember” bagi meriahkan Road To Visit Johor 2026
Tidak ketinggalan, para peminat pada ketika itu juga turut berasa teruja menunggu ketibaan penyanyi kegemaran tanah air, Ernie Zakri yang pernah berkolaborasi bersama Govinda beberapa bulan lalu.
“Sangat luar biasa, tak pernah pun terfikir dapat peluang seperti ini.
“Dulu kita datang hanya untuk bersama-sama dengan Ernie sahaja tetapi malam ini tak sangka kita akan ada di sini untuk menghiburkan peminat Govinda,” kata pemain bes Govinda, Yosafat Luki Marendra.
Konsert Govinda menjadi satu tarikan apabila ramai artis dan penyanyi yang hadir serta menyokong konsert pertama Govinda di Malaysia, antaranya Cakra Khan, Anuar Zain di samping artis yang tidak asing dengan kontroversi penceraiannya iaitu Fattah Amin.
Pengumuman yang dibuat oleh Ifan membatkan ramai peminat terkejut dan mencari kelibat artis-artis tersebut serta memberikan tepukan yang gemuruh terhadap mereka.
Untuk makluman, Govinda merupakan sebuah kumpulan muzik yang dibentuk oleh empat orang anggota iaitu Ifan Hadari (vokal), Ade Nurulianto (gitar), Yosafat Luki Marendra (bes), dan Jeje (dram).
Kumpulan ini ditubuhkan pada 7 Oktober 2008 dan nama awal bagi kumpulan tersebut adalah Domino. — Arena Muzik