Oleh: Haikal Tajuddin
PEMPENGARUH terkenal, Amsyar Lee kini kembali melebarkan sayapnya dengan mengeluarkan lagu baharu yang berjudul ‘Alkisah Jiwa’ sebagai karya yang dinanti-nantikan oleh peminatnya.
Amsyar atau nama sebenarnya, Muhammad Amir Syafiq Mohd Sadri, turut berkolaborasi bersama penyanyi berdarah Indonesia, Fadhilah Intan, yang dahulunya pernah popular dengan lagu berjudul Dawai.
“Saya melihat Fadhillah sebagai antara penyanyi berbakat besar dan mampu memberikan emosi kepada setiap naskhah yang dibawa.
“Dia mampu memberikan ‘nyawa’ kepada Alkisah Jiwa dan seterusnya menghidupkan lagu ini dengan baik sehingga memikat hati pendengar,” kata Amsyar dengan bangga.
Amsyar berkata, lagu ‘Alkisah Jiwa’ yang dibawakan itu sudah pun dilancarkan pada 11 Oktober lalu sebagai naskah yang berkonsepkan panduan diantara dua jiwa yang pasti membuatkan pendengar terbuai dan terhanyut dalam emosi.
Amsyar yang kini sudah mencapai usia 25 tahun mengakui bahawa lirik ciptaan, Hendro Djasmoro dan Albert Juwono itu sememangnya berjaya meruntun jiwanya ketika menyanyikan lagu tersebut.
“Saya sudah jatuh cinta dengan setiap lirik dan melodi lagu ini saat kali pertama mendengarnya.
“Alkisah Jiwa sebenarnya berkisah tentang perjalanan hati dan perasaan. Tidak mudah sebenarnya untuk menempuh liku-liku hidup memandangkan banyak halangan yang perlu dilalui.
“Namun dalam setiap langkah, akan ada cinta dan harapan yang menanti. Apa yang paling penting setiap insan perlu ada kekuatan jiwa untuk terus kuat. Percayalah ada keindahan yang akan menanti di hadapan dan saya berharap dapat menerima maklum balas positif daripada peminat setelah mendengar lagu ini,” jelasnya.
Untuk info, Amsyar Leee pernah meluncurkan lagu Rasa Sayang-Sayang pada 1 Mac 2024. — Arena Muzik