SELEPAS kejayaan besar lagu “Langit Yang Sama,” Dalia Farhana kembali menggegarkan dunia muzik dengan karya terbarunya berjudul “Beban.”
Dilancarkan pada 7 Oktober lalu, lagu ini telah mengumpul lebih 185,000 tontonan di YouTube dalam masa seminggu dan kini trending di tangga ke-5 carta YouTube Malaysia.
“Beban” bukan sekadar lagu biasa, ia adalah perjalanan emosi yang menyentuh hati, meneroka kepedihan cinta yang kian pudar dan beban emosi yang ditinggalkan.
Baris yang paling mendalam, “bebanmu yang paling mudah kau lepas itu aku,” benar-benar menusuk perasaan, menggambarkan peritnya ditinggalkan oleh insan yang pernah disayangi.
Baca juga: https://arenamuzik.com/2024/10/14/m-nasir-bawa-kelainan-di-konsert-cipta-2i/
Dalia mengakui bahawa proses menghasilkan “Beban” begitu peribadi baginya.
“Walaupun durasinya cuma 2 minit 53 saat, Beban adalah luahan rasa yang Dalia pendam sekian lama,” katanya.
Dia berharap lagu ini dapat menemani dan memberi kekuatan kepada mereka yang melalui pengalaman serupa.
Dengan melodi melankolik dan lirik yang begitu dekat di hati, “Beban” bukan sekadar sebuah lagu, tetapi satu pengalaman yang mencerminkan detik-detik kekecewaan dan perjalanan emosi dalam melepaskan cinta yang telah berlalu.
Setiap alunan dalam lagu ini mengingatkan kita bahawa rasa sakit mungkin tidak dapat dielakkan, tetapi kita tidak perlu menghadapinya sendirian.
Dalia Farhana hadir dengan karyanya bukan sekadar sebagai penyanyi, tetapi sebagai teman sejati buat mereka yang sedang mencari pengertian dan kekuatan di tengah kerapuhan cinta.
“Beban” boleh dinikmati di platform penstriman seperti Spotify, Apple Music, dan iTunes. — Arena Muzik