PENYANYI, Ismail Izzani tampil mempertaruhkan single baharunya yang berjudul, IMAN, yang dilancarkan secara rasmi pada 6 September lalu.
Ismail atau nama sebenarnya, Ismail Izzani Zainal Nazeri, 24, menyifatkan IMAN mempunyai makna besar yang tersendiri serta nuansa yang disuntik jelas lebih berbeza berbanding koleksi diskografinya sebelum ini.
Lagu tersebut terhasil dengan kerjasama penulis lirik, Joe Flizzow serta komposer SonaOne, Alexander Oghenetejiri Anidi dan DeeKid.
Menariknya, Ismail sudah dapat menjangka lagu tersebut mencetuskan terjemahan berbeza dalam kalangan pendengar dan dia sendiri lama menerokai melodinya membuatkan dia berasa teruja.
Baca juga: Night of Love & Compassion gabungkan Hattan, Jamal Abdillah
“Pembikinan lagu ini ambil masa yang panjang. Apabila saya dengar ‘demo’ pertamanya, saya tidak pasti sama ada saya mahu menyanyikannya.
“Bila dengar lama-lama dan terokai melodinya, buatkan saya teruja. Saya rasa lagu ini sangat segar,” ujar Ismail.
Di sebalik maksud dan mesej lagu ini, Ismail menjelaskan lagu tersebut mengisahkan tentang seorang wanita bernama Iman yang menambat hati serta disukai seorang pemuda.
Baca juga: Konsert sulung N.Flying bakal gegar KL Disember depan
“Lagu ini ada makna tersirat dan bergantung kepada pendengar bagaimana mereka mahu menerima mesejnya. Saya percaya ramai orang boleh mengaitkannya dengan pengalaman mereka sendiri.
“Kita semua pernah mengalami masa ketika kita sangat mencintai seseorang dan ingin memperbaiki diri daripada kesilapan lalu,” katanya.
Pada 24 September, Ismail Izzani mengadakan acara tandatangan peminat, “The IMANpiano Experience” di UNDEFEATED, TRX.
Peminat berpeluang menerima poster yang ditandatangani sambil menikmati aktiviti tarian yang meriah, di mana mereka dapat menunjukkan bakat mereka sepanjang acara tersebut.
Acara ini memupuk suasana yang ceria dan menyeronokkan, membolehkan peminat berhubung dengan Ismail dan meluahkan kreativiti mereka dengan cara yang tidak dapat dilupakan. — Arena Muzik