MAJLIS amal sambil berhibur akan diadakan dengan gabungan dua legenda muzik tanah air, Datuk Hattan dan Datuk Jamal Abdillah di ‘Night Of Love & Compassion’ pada 14 Disember 2024 bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.
Acara tersebut dianjurkan oleh Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tengku Mahmud, Besut, Terengganu (TMESA) bagi mengumpul dana untuk membantu pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik.
Menurut Presiden TMESA, Datuk Muhammad Nasir Hamzah, mereka mahu membantu pelajar-pelajar dari keluarga yang daif, terutamanya di sekitar Besut.
“Sepanjang dua dekad ini, kami sudah kekurangan modal, maka tercetuslah idea untuk menganjurkan acara amal ini,” katanya dalam kenyataan.
Gabungan kedua-dua ikon itu dijangka menarik minat ramai pencinta muzik yang juga mahu menyumbang kepada usaha murni tersebut.
Baca juga: Konsert sulung N.Flying bakal gegar KL Disember depan
Jamal atau nama sebenarnya, Datuk Jamal Ubaidillah Mohd Ali, 65, yang dikenali dengan suara emasnya, tidak sabar untuk menjayakan acara itu.
“Saya bersyukur kerana bakat kecil yang dikurniakan Tuhan ini dapat saya gunakan untuk mengumpul dana dan membantu pelajar yang memerlukan.
“Saya berharap dengan suara saya ini, lebih ramai yang akan terpanggil untuk menyokong usaha ini,” ujarnya.
Sementara itu, Datuk Hattan juga mengakui sentiasa menyokong penuh usaha amal seperti acara tersebut.
“Sejak dahulu, saya telah berjanji dengan diri sendiri untuk tidak menolak jika ada undangan daripada pihak sekolah. Saya faham kerana saya juga pernah susah,” jelasnya.
Baca juga: Search Symphonic: Unik, imbau nostalgia peminat rock
Untuk rekod, program utama TMESA, ‘Sponsor A Student’ (SAS), telah membantu lebih 1000 pelajar dalam tempoh 16 tahun.
“Kami temu duga sendiri pelajar-pelajar ini. Ada yang hanya makan nasi tiga kali seminggu, tetapi minat belajar sangat tinggi.
“Melalui program ini, kami mahu memastikan mereka tidak tercicir dalam pelajaran,” ujar Datuk Muhammad Nasir.
Acara ‘Night Of Love & Compassion’ dijangka mengumpul RM1 juta yang akan digunakan untuk membantu menambah baik kemudahan di sekolah dan melanjutkan program SAS.
Bagi mereka yang berminat untuk menyertai malam amal penuh bermakna ini, 98 meja telah dibuka untuk tempahan dengan harga bermula dari RM4,000 (Bronze, 20 meja); RM6,000 (Silver, 20 meja); RM8,000 (Gold, 16 meja); RM10,000 (Diamond, 16 meja hingga RM15,000 (Platinum, 16 meja). — Arena Muzik