RUMAH Produksi Merah, milik lagenda rock tanah air, Datuk Awie, dengan bangganya mengumumkan penganjuran Rock Warrior Music Festival iaitu satu acara muzik epik yang akan menghimpunkan band rock tanah air dalam satu persembahan yang bertenaga dan penuh nostalgia.
Festival ini bakal berlangsung pada 23 dan 24 November 2024 di KL Base, Sungai Besi, menjanjikan pengalaman muzik yang tiada tandingan kepada semua peminat rock.
Rock Warrior Music Festival bakal menampilkan barisan artis rock terkemuka seperti Wings, Search (Kid & Din) dan XPDC yang akan mempersembahkan lagu-lagu hit mereka dari era kegemilangan rock sehingga kini.
Penganjur Datuk Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman berkata, penganjuran festival tersebut adalah salah satu usaha Rumah Produksi Merah untuk menghidupkan kembali suasana era kegemilangan muzik rock, serta menyatukan generasi lama dan baru peminat muzik rock.
Baca juga: Nabila Razali luah dalam ‘Tangis’
Menurutnya, Rock Warrior Music Festival adalah platform terbaik buat band rock baharu untuk menonjolkan bakat sekali gus, memperkenalkan lagu dan karya mereka.
“Saya percaya festival ini akan menjadi titik sentral yang mencorakkan semangat kesatuan dalam kalangan peminat muzik, sama ada mereka adalah golongan lama yang sudah lama menggemari genre rock atau golongan baharu yang baru bersuara dalam dunia muzik ini.
“Platform unik ini memberi peluang kepada kumpulan rock baharu untuk beraksi, mengagumkan penonton, serta memperkenalkan lagu dan karya original mereka kepada dunia.
Baca juga: Harris Baba berjaya ‘tarik’ Akon datang Malaysia
“Dengan adanya penekanan yang diberikan oleh festival ini terhadap kepelbagaian bakat dalam kalangan penyampai lagu rock, ia memperlihatkan komitmen sebenar pihak penganjur dalam mempromosikan kepelbagaian dan inovasi dalam industri muzik tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah legenda berumur 55 tahun itu, festival tersebut bukan sahaja menjadi acara hiburan yang tidak boleh dilepaskan oleh peminat-peminat muzik, tetapi juga menjadi tonggak penting yang mendokong perkembangan industri muzik rock di negara ini.
Lebih menarik lagi, festival tersebut turut menawarkan pelbagai aktiviti sampingan untuk menambahkan kemeriahan acara, termasuk pelbagai gerai makanan dan minuman, aksesori, gerai jualan eksklusif barangan rock dan banyak lagi.
Tiket untuk menyaksikan Rock Warrior Music Festival sudah mula dijual sejak 7 September lalu dan boleh didapati secara dalam talian menerusi laman web https://rockwarrior.ubertickets.asia/.
Harga tiket untuk dua hari iaitu Gold (seated) RM250, Silver (standing) RM200 dan Bronze (standing) RM150. — Arena Muzik