“Lagu ini memiliki kekuatan untuk menyentuh hati dan membangkitkan pelbagai emosi setiap pendengar yang mendengarnya,” itulah ungkapan yang dikeluarkan penyanyi jelita, Nabila Razali.
Nabila Razali atau nama sebenarnya, Nur Nabila Mohd Razali, menjelaskan lagu ‘Tangis’ adalah single terbaru yang menggambarkan emosi mendalam dan perjalanan seseorang melalui kesedihan dan kehilangan.
“Sejujurnya, lagu ini bukanlah hanya sebuah lagu, tetapi juga mampu mencerminkan perasaan yang dirasakan oleh ramai orang di luar sana.
“Dengan penerimaan yang positif daripada pendengar, lagu ini boleh dianggap sebagai lagu wajib diperdengarkan yang mampu mencipta ikatan emosi erat antara peminat muzik dan penikmat seni,” kata Nabila.
Baca juga: Harris Baba berjaya ‘tarik’ Akon datang Malaysia
Nabila turut mendakwa, lagu Tangis ini juga adalah sepenuhnya dihasilkan oleh komposer dan penyanyi terkenal, Naim Daniel yang sememangnya pakar dalam memberi sentuhan rasa kepada pendengar menerusi setiap bait lirik yang dihasilkan.
“Lagu ini berubah menjadi ungkapan yang menyentuh hati menerusi pengalaman dan sentimen yang dikongsi semua orang dari semua lapisan masyarakat.
“Hubungan antara muzik dan emosi ini juga lah yang benar-benar mampu mengatasi halangan bahasa dan budaya yang membolehkan lagu mengatasi hiburan semata-mata dan menjadi sumber keselesaan, ketenangan dan pemahaman bagi mesejnya,” jelas Nabila.
Yang menarik sekali, lagu ini turut didendangkan di bawah tema bersiri ‘Bawa Payung Awan’ dan menampilkan Nabila sebagai pelakon utama bersama Ben Amir yang ditayangkan sejak 13 Jun lalu.
Baca juga: Festival Seri Gema 2024 ditunda
“Drama ini sejujurnya memberikan kembara emosi yang mendalam kepada penonton melalui pengaruh melodi lagi Tangis berikan pada setiap adegan yang disusun dengan teliti.
“Melalui tema ini juga, penonton akan dapat merasai setiap detik kehidupan watak-watak dalam siri Bawah Payung Awan dengan lebih mendalam dan terhanyut dengan alur cerita yang ditawarkan,” jelasnya.
Sebagai info, lagu Tangis merupakan kerjasama diantara Nabila Razali Entertainment, Universal Music Malaysia dan Global Keynote yang dilancarkan 15 Jun lalu.
Lagu ini berjaya mendapat lebih 100,000 penstriman di platform Spotify dan 100,000 tontonan di YouTube. — Arena Muzik